Pegawai tentera disyaki mabuk ditahan selepas kemalangan maut di MEX

Pegawai tentera disyaki mabuk ditahan selepas kemalangan maut di MEX

Polis berkata kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki Bangladesh yang juga penumpang kenderaan e-panggilan maut.

kemalangan Ford Fiesta dan Perodua Alza mex fb pic 23426
Keadaan Ford Fiesta dan Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya MEX pagi tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai tentera ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol hingga merempuh sebuah kenderaan e-panggilan, mengakibatkan seorang penumpang maut di Lebuhraya MEX awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa, berkata polis menerima laporan pada 5.38 pagi mengenai kemalangan melibatkan sebuah Perodua Alza dan Ford Fiesta.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pegawai tentera berusia 31 tahun itu memandu Fiesta masuk laluan bertentangan dan bertembung sebuah Alza yang dipandu pemandu e-panggilan berusia 41 tahun.

“Alza itu membawa dua warga Bangladesh, iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 20 tahun, dari KLIA.

“Penumpang lelaki yang duduk di bahagian tengah tempat duduk belakang disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan.

Zamzuri berkata wanita tersebut kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat pelbagai kecederaan.

“Pemandu e-panggilan itu pula mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu Fiesta hanya cedera ringan. Seorang penumpang wanita berusia 36 tahun dalam Fiesta turut cedera dan sedang menerima rawatan di HKL,” katanya.

Zamzuri berkata ujian pernafasan mendapati paras alkohol dalam darah pemandu Fiesta melebihi had dibenarkan, manakala ujian air kencingnya didapati negatif dadah.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.