
Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 39 tahun yang merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak itu, direman tujuh hari bermula 16 April dan disambung lagi lima hari bermula esok hingga Isnin depan (27 April), bagi membantu siasatan.
Menurutnya, pada kira-kira 5 petang, 14 April, seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar.
Keputusan ujian saringan air kencing menunjukkan mangsa positif tetrahydrocannabinol.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan berkenaan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat dan pada 11 April mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Dzulkhairi berkata, susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota daripada IPK Melaka menangkap suspek kira-kira 9.30 malam pada 15 April.
Katanya, suspek tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif, manakala kanak-kanak perempuan itu telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.