
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata operasi selama dua hari bermula 1 April itu menyasarkan premis yang menjalankan aktiviti perjudian termasuk menggunakan tablet serta menyalahgunakan lesen pusat hiburan dan e-sukan.
Beliau berkata, di Selangor, seramai 52 individu terdiri daripada 41 lelaki dan 11 wanita berusia antara 20 hingga 75 tahun ditahan.
“Daripada jumlah itu, 26 individu adalah warga asing termasuk warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, di Sabah pula, seramai 15 warga tempatan terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 68 tahun ditahan.
“Mereka terdiri daripada penjaga premis dan pemain yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian di premis berkenaan,” katanya.
Kumar berkata, modus operandi sindiket adalah menjalankan aktiviti perjudian dengan berselindung di sebalik lesen pusat hiburan keluarga dan e-sukan,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peranti termasuk televisyen, tablet, komputer, mesin simulator serta wang tunai dalam serbuan berkenaan.
“Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram bagi menjamin kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya.