29 ditahan, sindiket tipu pelaburan tumpas

29 ditahan, sindiket tipu pelaburan tumpas

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata penahanan hasil serbuan berasingan di Bandar 16 Sierra.

handcuff
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata suspek direman empat hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan pakatan jahat.
SHAH ALAM:
Polis menumpaskan sindiket pusat panggilan pelaburan antarabangsa susulan penahanan 29 warga asing dalam serbuan berasingan di sebuah taman perumahan di Bandar 16 Sierra.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata semua suspek terdiri 27 lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 63 tahun ditahan dalam operasi khas bermula 11 malam kelmarin hingga 1.30 pagi semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang.

Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga sindiket berkenaan menjadikan rumah teres di kawasan perumahan tersebut sebagai pangkalan operasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Polis berjaya membuat tangkapan ke atas 10 lelaki dan seorang wanita warga asing yang dikesan menjalankan penipuan pelaburan dalam talian menyasarkan warga Peru dalam serbuan pertama pada 11 malam, Selasa lalu.

“Sindiket pertama ini dikesan menggunakan aplikasi Telegram dan platform laman web ‘andesquant.com/home’ untuk menjerat mangsa. Dalam serbuan itu, seorang wanita bertindak sebagai tukang masak manakala yang lain menjadi operator,” katanya dalam sidang media.

Shazeli berkata, serbuan kedua pada 11.45 malam di premis berhampiran pada hari sama pula membawa penahanan tujuh lagi lelaki warga asing yang menyasarkan pelabur dari China menggunakan aplikasi ‘Douyin’ dan ‘Dongfangcaifu’.

Manakala, dalam serbuan ketiga pada 1.30 pagi semalam, polis menahan 11 lagi warga asing termasuk seorang wanita yang berperanan sebagai ‘pengurus akaun’ untuk mengumpul maklumat kewangan hasil aktiviti penipuan tersebut.

Beliau berkata, kumpulan itu turut menyasarkan warga China melalui aplikasi Douyin dan memasukkan data kewangan diperoleh ke dalam sistem khas melalui pautan web ‘nm11.hfz9.link’.

Katanya, keseluruhan nilai barangan elektronik dirampas merangkumi komputer, monitor, CPU dan telefon bimbit daripada ketiga-tiga premis dianggarkan RM69,000.

“Semua suspek direman empat hari hingga 23 Mei bagi membantu siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan atas kesalahan pakatan jahat,” katanya.

Sementara itu, Shazeli berkata tiada unsur jenayah dikesan dalam kes pegawai kanan IPK Selangor yang maut disyaki terjatuh dari sebuah bangunan di Vista Alam, Seksyen 14, Shah Alam, semalam.

“Siasatan awal dipercayai bersifat kemalangan, bedah siasat telah selesai dan jenazah selamat dikebumikan di Kuantan, Pahang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.