
Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa, seorang guru taska berusia lingkungan 30-an, yang memaklumkan bahawa pengasuh bayinya mendapati kanak-kanak itu tidak sedarkan diri sebelum membawanya ke klinik berhampiran kira-kira 10 malam.
“Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar dan doktor bertugas telah melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum mendapati mangsa telah meninggal dunia.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dijaga pengasuh berusia lingkungan 30-an itu sejak Disember tahun lepas dan ketika kejadian mangsa dikatakan ditidurkan di dalam buaian serta diberikan puting jenis silikon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan wanita tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Azahar menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga boleh mengganggu siasatan selain menegaskan tindakan akan diambil terhadap pihak terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.