
Onesimus Kipchumba Murkomen, setiausaha kabinet Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Negara, berkata lebih 300 penunjuk perasaan ditahan kerana menyalakan unggun api, menyekat jalan dan melibatkan polis dalam pertempuran.
“Polis melancarkan siasatan untuk menentukan sama ada mangsa maut ialah orang awam…atau penjenayah,” kata Murkomen dalam sidang akhbar di sini.
Murkomen mengecam keganasan, rompakan dan pemusnahan harta benda yang dilaporkan semasa protes di beberapa kawasan, khasnya Kenya tengah.
Perikatan Sektor Pengangkutan menyeru mogok diadakan Ahad lalu atas alasan harga minyak yang tinggi mendorong kos operasi di luar jangkauan.
Pihak Berkuasa Kawal Selia Tenaga dan Petroleum Kenya (EPRA) pada 14 Mei lalu menaikkan harga petrol super sebanyak 16.65 syiling (kira-kira USD0.12) seliter dan diesel dengan rekod 46.29 syiling (kira-kira USD0.35).
Menurut EPRA, kenaikan itu didorong peningkatan kos minyak mentah global dan gangguan rantaian bekalan yang dikaitkan dengan konflik di Timur Tengah.