
Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata mangsa korban adalah dua wanita tempatan berusia 57 dan 62 tahun, manakala anak kepada seorang mangsa korban yang berusia 17 tahun itu cedera.
Menurutnya, sebuah SUV berwarna perak dari arah Jalan Meru menuju Bandar Baru Klang hilang kawalan lalu merempuh tiga pejalan kaki di bahu kiri jalan kira-kira 7.40 malam Jumaat.
Jelasnya, pemandu SUV itu bertindak melarikan diri.
“Dua mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, tiga sekeluarga itu dipercayai dari rumah di kawasan sama dan dalam perjalanan untuk makan malam di lokasi berhampiran.
Katanya, polis belum mengambil keterangan daripada mangsa cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.