Pengasuh direman bantu siasatan kematian bayi 7 bulan

Pengasuh direman bantu siasatan kematian bayi 7 bulan

Polis berkata laporan bedah siasat belum diperoleh bagi mengenal pasti punca kematian dan siasatan masih diteruskan.

Seremban police chief Azahar Abdul Rahim
Ketua Polis Seremban Azahar Abdul Rahim berkata wanita 38 tahun itu direman enam hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. (Gambar Facebook)
SEREMBAN:
Seorang pengasuh direman enam hari hingga Isnin depan bagi membantu siasatan kematian seorang bayi lelaki tujuh bulan di sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan, dekat sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata wanita 38 tahun itu direman mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Hasil bedah siasat belum diperoleh bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan masih diteruskan,” katanya kepada Bernama di sini.

Semalam, media melaporkan bayi terbabit dipercayai tidak sedarkan diri ketika di bawah jagaan pengasuh itu di rumahnya di Bandar Sri Sendayan.

Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan.

Hasil siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian serta diberikan puting silikon.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Dah, berkata hasil siasatan mendapati rumah jagaan itu tidak berdaftar dan beroperasi tanpa kelulusan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984.

“Berdasarkan laporan awal, beberapa kanak-kanak di bawah jagaan wanita itu dan kita arahkan rumah itu supaya tidak beroperasi…kebanyakan kes melibatkan kematian atau kecederaan kanak-kanak berlaku di rumah pengasuh dan taska tidak berdaftar.”

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa sentiasa memilih taska berdaftar bagi memastikan anak mereka diasuh serta dijaga mengikut peraturan ditetapkan, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini.

“Kita ingin mendidik masyarakat supaya menghantar anak ke taska berdaftar kerana premis yang diluluskan telah melalui pemeriksaan keselamatan dan pemantauan sewajarnya, bukan sahaja dari JKM, tetapi bomba, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

“Jangan hanya melihat faktor murah kerana ia melibatkan nyawa kanak-kanak. Ibu bapa perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dari awal.”

Beliau turut menyeru pengasuh atau petugas pusat asuhan mengikuti kursus Asuhan Permata secara percuma di negeri ini untuk mempelajari kaedah penjagaan kanak-kanak yang selamat serta pengendalian situasi kecemasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.