Lelaki dibunuh depan kedai makan di Pontian

Lelaki dibunuh depan kedai makan di Pontian

Mangsa ditemukan berlumuran darah bersama kesan parah di tangan dan kaki.

Hadzrat Hussien
Ketua Polis Pontian Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata motif sedang dikenal pasti serta suspek masih diburu.  (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian.

Ketua Polis Pontian Hadzrat Hussien Mion Hussain, berkata sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Pontian bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu, pada 3.53 pagi tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan parah di tangan serta kaki.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. Polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian serta mengesan suspek yang terlibat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Ahmad Shah Abdul Rasheed di talian 019-7578020 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya menurut Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.