
Pua, yang juga pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, berkata beliau hadir ke IPD Petaling Jaya pada 4 petang tadi dengan rakaman kenyataan berlangsung sekitar 40 minit.
Sebelum ini, beliau menawarkan diri untuk memberikan kenyataan di IPD Shah Alam, pada esok pagi, namun pegawai penyiasat menegaskan agar kenyataan Pua direkodkan hari ini.
“Saya mengesahkan bahawa saya sendiri yang menulis hantaran Facebook itu tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak. Apabila ditanya mengenai niat hantaran berkenaan, saya menjawab ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara.
“Apabila ditanya mengenai maksud hantaran itu pula, saya jawab ia adalah seperti apa yang ditulis,” katanya dalam catatan di Facebook.
Pua berkata, beliau dimaklumkan lebih 80 laporan polis telah dibuat terhadapnya di seluruh negara.
Pemimpin DAP itu sedang disiasat atas kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Dalam hantarannya, Pua berkata kuasa Raja adalah terhad kepada aspek tertentu yang telah ditetapkan seperti adat resam Melayu, agama Islam, dan peranan Perlembagaan seperti pelantikan menteri besar, serta persetujuan untuk pembubaran DUN.
Beliau juga menyatakan, rakyat Malaysia tidak ‘hidup dalam sistem di mana Raja boleh mengeluarkan titah perintah mengikat bagi semua aspek kehidupan kita’.