
A Saranya, 28, dan R Saroja, 64, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian paha dan kemaluan di kediaman mereka di Jalan Pudu Impian, antara Februari 2026 hingga 3 April 2026.
Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili dua beranak itu memohon jaminan rendah kerana Saranya sedang mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan anak keenam bulan ini, manakala ibunya yang tidak bekerja menghidap penyakit darah tinggi serta kolesterol.
“Jaminan yang ditawarkan pihak pendakwaan di luar kemampuan kedua-dua anak guam memandangkan penjamin yang merupakan suami tertuduh pertama (Saranya) dan menantu kepada tertuduh kedua (Saroja) bekerja sebagai kelindan lori serta berpendapatan RM1,800 sebulan,” kata peguam itu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan, selain dilarang mengganggu mangsa, keluarga mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.