
Ketua Polis Shah Alam Ramsay Embol berkata, suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas ibu bapa mangsa membuat laporan pada petang semalam.
Remaja terbabit didakwa dikurung dan dicabul suspek di dalam sebuah bilik tidur pangsapuri di kawasan Bukit Kemuning.
Siasatan awal mendapati suspek mengajak mangsa berbual dengan menawarkan pakej internet telefon bimbit sebelum memperdayanya untuk pergi ke pangsapuri berkenaan.
“Mangsa kemudiannya telah diikat kaki dan tangan sebelum disyaki diliwat oleh suspek,” katanya dalam kenyataan.
Ramsay berkata, mangsa berjaya melepaskan diri setelah menjerit meminta tolong melalui tingkap bilik tidur apabila ditinggalkan bersendirian.
Remaja itu akhirnya diselamatkan oleh penduduk berhampiran sebelum mereka menghubungi pihak polis.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 323, 342 dan 377C Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Ramsay menasihati ibu bapa agar mengingatkan anak-anak mereka supaya berwaspada terhadap individu yang tidak dikenali.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Sabri Rani di talian 017-2892628.