Pemandu peribadi didakwa culik budak 11 tahun

Pemandu peribadi didakwa culik budak 11 tahun

Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly mengaku tak salah culik budak perempuan pada 19 Mei lepas.

Mahkamah KL
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur tetap 20 Julai ini untuk sebutan kes.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas tuduhan menculik seorang budak perempuan berusia 11 tahun minggu lepas.

Muhamad Rafiqzam Hafeq Mohd Rosly, 23, didakwa menculik kanak-kanak itu daripada bapanya Rosli Ab Ghani, 49, di Jalan Ilmu, berhampiran sebuah kolej hingga ke sebuah stesen minyak di Bukit Damansara antara 2.30 petang hingga 4.49 petang pada 19 Mei lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurbatrisyia Mohd Razib, manakala tertuduh diwakili peguam P Suthes, lapor Bernama.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, hakim turut mengenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan, iaitu agar tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mengganggu atau mendekati mangsa dan keluarganya sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.