Anggota tentera dipukul masih tak stabil, perlu bantuan pernafasan

Anggota tentera dipukul masih tak stabil, perlu bantuan pernafasan

Muhammad Amirul Raziq Rosafindi yang dipercayai dipukul di kem tentera pada 30 Mac lepas kini dirawat di Hoshas.

azhan othman
Panglima Tentera Darat Azhan Md Othman berkata, pihaknya akan ambil tindakan tegas jika suspek didapati bersalah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang prebet yang menjadi mangsa dalam kejadian pukul di sebuah kem tentera di Bentong baru-baru ini dilaporkan masih berada dalam keadaan tidak stabil dan memerlukan sokongan bantuan pernafasan di hospital.

Panglima Tentera Darat (PTD) Azhan Md Othman berkata, insiden kekerasan melampau dalam kalangan tentera tidak boleh diterima sama sekali dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya suspek didapati bersalah.

“Kita menunggu hasil siasatan polis dan pada masa sama, Lembaga Siasatan telah ditubuhkan pada peringkat Tentera Darat,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini, lapor Bernama.

Azhan menambah, beliau akan menziarahi mangsa di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapatkan perkembangan terkininya.

Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dipercayai dipukul dalam satu kejadian di Kem Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja pada 30 Mac lepas.

Tentera Darat dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, akibat insiden itu, anggota berkenaan tidak sedarkan diri dan diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera 25 RAMD sebelum dipindahkan ke Hospital Bentong dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan di Hoshas.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Azhan berkata, suspek akan ditempatkan di bawah pengawasan rapi dan tidak dibenarkan bercampur dengan anggota lain sejurus dibebaskan daripada tahanan reman.

“Mereka yang tidak dapat mengawal emosi sehingga melakukan kekerasan melampau tidak sesuai berada dalam Tentera Darat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.