Koperal serang Amirul Raziq kini disiasat membunuh

Koperal serang Amirul Raziq kini disiasat membunuh

Polis telah memohon bedah siasat ke atas jasad prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dan jika perlu keterangan semula saksi akan diambil.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar
Ketua Polis Bentong Zaiham Kahar, berkata kes pukul di kem Batalion ke-25 RAMD diklasifikasi semula sebagai bunuh susulan kematian Muhammad Amirul Raziq Rosafindi pagi tadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) yang menyerang Muhammad Amirul Raziq Rosafindi di kem kini disiasat kerana membunuh susulan kematian prebet itu pagi tadi.

Sebelum ini, Sukry Tasu, 37, berpangkat koperal dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas perbuatan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa,

Namun, Ketua Polis Bentong Zaiham Kahar, berkata perkembangan terbaharu menyaksikan kes disiasat semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Permohonan untuk melakukan bedah siasat telah dilakukan serta pihak polis akan meneliti semula keterangan yang telah diambil sebelum ini dan jika perlu, sambungan rakaman percakapan saksi akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, bapa Amirul Raziq, Rosafindi Tambi Chik, mengesahkan pemergian anaknya pagi tadi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang, kira-kira seminggu selepas mangsa bergantung kepada alat bantuan pernafasan susulan serangan itu.

Pada Isnin, Sukry mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan menyerang anggota tentera di kem Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja, bulan lalu.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada Amirul Raziq dan enam yang lain — Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Syakirin Yaacob, 20; Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Irfan Aiman Tajudin, 19; dan Danial Asraf Azizan, 22.

Zaiham sebelum ini, berkata koperal tersebut didakwa telah menumbuk dan menendang Amirul di pelbagai bahagian badan.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menyatakan siasatan awal mendapati PTTR itu tidak berpuas hati dengan cara anggota terbabit membersihkan stor senjata kem berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, berkata kematian prebet berkenaan dipandang serius, sambil menegaskan sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme dijunjung Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.

“Kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.