
JERTIH: Polis menahan seorang guru lelaki bagi membantu siasatan dakwaan salah laku seksual membabitkan mangsa pelajar sekolah yang tular di laman sosial.
Ketua Polis Besut Mohd Rozaime Ab Rahman ketika dihubungi Bernama berkata lelaki berusia 41 tahun yang mengajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini ditahan kira-kira 3 petang tadi.
“Penahanan dibuat susulan dua laporan diterima polis daripada dua pelajar hari ini.
“Turut dirampas sebuah telefon bimbit. Suspek akan dibawa ke mahkamah esok untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.
Isu seorang guru lelaki didakwa mencabul pelajar lelaki di Besut tular selepas seorang pemilik akaun Facebook memuat naik hantaran itu sejak beberapa hari lepas.