
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata kertas siasatan kes itu sebelum ini sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara kira-kira empat kali.
Katanya, setiap kali rujukan dibuat, pihaknya menerima beberapa arahan lanjut bagi melengkapkan siasatan.
“Segala arahan daripada Jabatan Peguam Negara telah diambil tindakan dan kertas siasatan telah diedarkan semula semalam untuk arahan dan nasihat selanjutnya berkenaan hala tuju kes Durian Tunggal ini.
“Seramai 63 saksi telah dirakam percakapan,” katanya pada sidang media.
Ditanya mengenai penambahbaikan yang dibuat selepas kertas siasatan itu dikembalikan beberapa kali, Kumar berkata ia antara lain membabitkan keperluan mendapatkan keterangan lanjut daripada saksi tertentu.
“Beberapa arahan telah diberi, contohnya untuk sambung percakapan beberapa orang saksi dan sebagainya, lebih kepada menjelaskan fakta tertentu.
“Jadi kita telah ambil tindakan-tindakan itu,” katanya.
AGC bulan lalu berkata pihaknya sedang mengkaji kertas siasatan berhubung insiden tembakan yang menyebabkan tiga individu maut di Durian Tunggal.
Dalam kejadian 24 Nov tahun lalu kira-kira 4.30 pagi, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang ke arah seorang anggota polis.
Anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an itu dilaporkan cedera parah pada lengan kiri dalam kejadian berkenaan.
Kes itu kemudian diklasifikasikan semula untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membunuh, selepas AGC meneliti laporan dan taklimat daripada polis.