Polis akan panggil Azam Baki bantu siasatan dakwaan Tei diugut

Polis akan panggil Azam Baki bantu siasatan dakwaan Tei diugut

Setakat ini, polis sudah rakam percakapan dua saksi, iaitu pengadu dan seorang peguam, menurut Bukit Aman.

Pengarah JSJ Bukit Aman M Kumar berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Polis mengesahkan akan memanggil bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap ahli perniagaan Albert Tei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, susulan laporan polis dibuat Tei pada 13 Mei lepas.

Menurut Kumar, setakat ini dua saksi sudah dirakam percakapan, iaitu Tei dan seorang peguam yang didakwa menyampaikan ugutan itu.

“Selepas laporan polis dibuat, Tei telah mengadakan sidang media,” katanya di IPD Kajang hari ini.

“Dalam sidang media itu, beliau memaklumkan bahawa ugutan itu diterima melalui seorang peguam. Selepas kita merakam percakapan (Tei) dan mengenal pasti peguam tersebut, semalam kita telah rakam percakapannya.”

Kumar berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut.

Sebelum ini, Tei membuat laporan polis mendakwa beliau diugut serta cuba dihalang daripada mendedahkan skandal rasuah di Sabah pada November 2024.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, sehari selepas Azam Baki menamatkan perkhidmatannya di SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.