Mayat budak 9 tahun jatuh longkang ditemui

Mayat budak 9 tahun jatuh longkang ditemui

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata ibu bapa mangsa telah membuat pengecaman.

Mayat Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum ditemui pada 12.17 tengah hari tadi kira-kira 11km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Mayat kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang dibawa arus selepas dipercayai terjatuh ke longkang di Bandar Mahkota Cheras kelmarin, ditemui di Sungai Langat hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata mayat Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, ditemui pasukan penyelamat di air pada 12.17 tengah hari tadi kira-kira 11km dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

“Ibu bapa mangsa telah membuat pengecaman di lokasi,” katanya menurut Berita Harian.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Izman Adnan dilaporkan berkata, kawasan pencarian mangsa diperluaskan ke Sungai Langat.

Operasi memasuki hari ketiga hari ini yang disertai 60 anggota JBPM Selangor, Angkatan Pertahanan Awam dan polis itu membabitkan 5km dari lokasi kejadian di Pangsapuri Sri Hijau hingga Sungai Long yang bersambung Sungai Langat.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak perempuan yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke longkang sebelum dihanyutkan arus di Bandar Mahkota Cheras, kelmarin dikatakan sering bermain di kawasan terbabit.

Ibu mangsa, Nordina Zulkarnain, 34, dilaporkan berkata kawasan lapang bersebelahan Pangsapuri Sri Hijau itu sering menjadi lokasi bermain kanak-kanak, termasuk anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.