Abdul Halim mula tugas ketua pesuruhjaya SPRM hari ini

Abdul Halim mula tugas ketua pesuruhjaya SPRM hari ini

Bekas hakim Mahkamah Tinggi itu dilantik bagi tempoh kontrak selama 2 tahun, berkuat kuasa hingga 12 Mei 2028.

Shamsul Azri Abu Bakar Abdul Halim Aman
Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar (kiri) serah watikah pelantikan Abdul Halim Aman sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu Abdul Halim Aman memulakan tugas secara rasmi hari ini.

Beliau menggantikan Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan selepas 42 tahun berkhidmat dalam SPRM semalam.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa pada hari ini.

“InsyaAllah, saya percaya dengan kredibiliti dan pengalaman beliau dalam jalur perundangan akan terus memberikan nilai tambah, memperkukuh peranan serta mengangkat kedudukan SPRM sebagai badan penguat kuasa yang berprestij di dalam dan luar negara. Selamat berkhidmat!” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

Shamsul Azri turut berkongsi gambar penyerahan watikah pelantikan Abdul Halim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Azam dan menyifatkan banyak kejayaan dan reformasi yang telah dilaksanakan dalam menerajui SPRM sebagai sebuah badan penguat kuasa yang unggul.

“Jasa bakti (Azam) akan sentiasa dikenang dan semoga terus menyumbang kepada negara dalam apa jua kapasiti selepas ini,” katanya.

Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan Abdul Halim yang juga bekas hakim Mahkamah Tinggi sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa pada 13 Mei.

Dalam pada itu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan Abdul Halim hari ini secara rasmi melapor diri dan memulakan tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Abdul Halim dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei 2028.

“Seluruh warga SPRM merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada beliau dalam menerajui usaha memperkukuh integriti, tadbir urus serta agenda pembanterasan rasuah negara,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.