Azam menamatkan khidmat selepas 6 tahun terajui SPRM

Azam menamatkan khidmat selepas 6 tahun terajui SPRM

Kepimpinan Azam Baki menyaksikan SPRM lancar beberapa siasatan berprofil tinggi, namun dibayangi persoalan mengenai pemilikan saham beliau, dan pegawai bekerjasama dengan ahli perniagaan.

Tan Sri Azam Baki bernama pic 12526
Azam Baki bersara hari ini selepas berkhidmat sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dari Mac 2020. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Azam Baki secara rasmi menamatkan khidmat sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, mengakhiri tempoh enam tahun yang menyaksikan badan antirasuah itu kerap menjadi tumpuan.

Pada majlis penghargaan khas di Putrajaya, Azam menyeru warga SPRM memberi sokongan kepada kepimpinan baharu dan pengurusan tertinggi bagi meneruskan legasi SPRM.

“Jangan sabotaj ketua pesuruhjaya yang baharu kerana jika anda sabotaj, itu bermaksud anda sedang mensabotaj organisasi anda sendiri,” katanya dalam ucapan perpisahan, lapor Buletin TV3.

Azam mengambil alih jawatan tertinggi itu pada Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya, Latheefa Koya, meletak jawatan di sebalik pergolakan politik susulan Langkah Sheraton.

Beliau kemudian berkhidmat bawah tiga perdana menteri — Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan Anwar Ibrahim — yang menyaksikan kontraknya dilanjutkan sebanyak tiga kali.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, SPRM melancarkan beberapa siasatan berprofil tinggi, termasuk yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB, Muhyiddin berhubung program Jana Wibawa, dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berhubung dakwaan gagal mengisytiharkan aset.

Terbaharu, SPRM melancarkan siasatan terhadap perjanjian RM1.1 bilion kerajaan dengan syarikat reka bentuk cip yang berpangkalan di UK, Arm Holdings, yang dikaitkan dengan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Kepimpinan Azam dibayangi oleh persoalan mengenai pemilikan saham beliau dalam syarikat senaraian awam, dan dakwaan bahawa pegawai SPRM bekerjasama dengan ahli perniagaan untuk memaksa pengambilalihan korporat.

Azam dan SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Jemaah Menteri kemudian mengarahkan siasatan khas diketuai Peguam Negara Dusuki Mokhtar untuk menentukan sama ada pembelian saham tersebut melanggar peraturan perkhidmatan awam, namun penemuan siasatan itu masih belum didedahkan.

Azam akan digantikan oleh Abdul Halim Aman, seorang bekas hakim Mahkamah Tinggi dengan pengalaman kehakiman melebihi dua dekad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.