KP SPRM lebih ramai musuh berbanding rakan, pesan Azam

KP SPRM lebih ramai musuh berbanding rakan, pesan Azam

Kepimpinan agensi penguatkuasaan perlu berani buat keputusan sukar, kata Azam Baki yang akan tamat khidmat pada 12 Mei ini.

azam baki
Azam Baki berkata, antara cabaran terbesar dalam bidang penguatkuasaan adalah untuk pastikan siasatan dan tindakan penguatkuasaan berkesan tangani bentuk rasuah dan salah guna kuasa yang semakin kompleks. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tugas ketua pesuruhjaya Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyebabkan penyandang mempunyai lebih ramai musuh berbanding rakan, pesan Azam Baki yang akan menamatkan khidmat pada 12 Mei ini.

Mengimbau lebih empat dekad berkecimpung dalam pembanterasan rasuah, Azam berkata, kepimpinan dalam agensi penguatkuasaan memerlukan keberanian serta kesediaan membuat keputusan sukar.

“Kalau kita mahu selamat, jangan buat apa-apa, tetapi apabila berada dalam agensi penguatkuasaan, kita perlu berani membuat keputusan walaupun dikritik,” katanya ketika bertemu pengamal media, lapor Bernama.

Azam menyertai Badan Pencegah Rasuah pada 1984, dan menggalas amanah ketua pesuruhjaya SPRM sejak Mac 2020. Beliau memegang jawatan tersebut melebihi usia persaraan melalui tiga pelanjutan kontrak setiap satu selama setahun, pada 2023, 2024 dan 2025.

Berkuat kuasa 13 Mei, bekas hakim Mahkamah Tinggi Abdul Halim Aman dilantik menggantikan Azam.

Azam berkata, antara cabaran terbesar dalam bidang penguatkuasaan adalah memastikan siasatan dan tindakan penguatkuasaan berkesan untuk menangani bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin kompleks.

“Tiada organisasi di dunia yang bebas daripada masalah termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Akan sentiasa ada isu melibatkan kartel, salah guna kuasa dan kelemahan sistem,” katanya.

Azam berkata kebertanggungjawaban tidak boleh dipisahkan daripada penguatkuasaan kerana setiap pelantikan datang bersama amanah yang tidak boleh diserahkan kepada pihak lain.

“Apabila seseorang diberi jawatan, tanggungjawab datang bersama pelantikan itu, tidak boleh ada budaya mengelak tanggungjawab,” katanya.

Bagi memperkukuh siasatan, Azam berkata, SPRM memerlukan pengumpulan risikan dan rangkaian maklumat dalaman serta kerjasama strategik antara agensi, terutama bagi kes melibatkan rangkaian terancang dan individu berprofil tinggi.

“Jenayah rasuah sering berlaku dalam kumpulan kecil yang melindungi sesama sendiri, menyebabkan ia lebih sukar dikesan berbanding jenayah seperti rompakan atau kecurian.

“Ada kes yang berlarutan selama bertahun-tahun tanpa dapat dikesan secara langsung,” katanya.

Azam menyeru kerjasama lebih meluas melibatkan golongan profesional daripada pelbagai bidang seperti perakaunan dan perundangan bagi memperkukuh siasatan serta meningkatkan keupayaan analisis.

“Setiap latar belakang membawa perspektif dan kepakaran berbeza yang boleh membantu menjadikan siasatan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, Azam mempertahankan siasatan SPRM terhadap ahli politik berprofil tinggi walaupun dikritik pelbagai pihak, menegaskan siasatan dijalankan berdasarkan maklumat dan tatacara.

“Tidak pernah dalam sejarah Malaysia sejak SPRM dikenali sebagai BPR, kami menyiasat seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, sebab itu ada pihak yang tidak senang dengan pendekatan diambil.

“Prinsip saya mudah: Siapa yang bersalah mesti didakwa tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.