Lagi senator angkat sumpah, tapi tiada lantikan ke Jemaah Menteri

Lagi senator angkat sumpah, tapi tiada lantikan ke Jemaah Menteri

Ahli Dewan Negara berkemungkinan mengangkat sumpah pada 13 Feb ini.

Ketika ini terdapat 51 senator justeru 19 lagi boleh dilantik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lebih ramai senator dijangka mengangkat sumpah bulan depan, namun tiada yang akan dilantik dalam Jemaah Menteri, kata sumber daripada Pakatan Harapan (PH).

Pelantikan itu dibuat bagi mengisi kuota senator diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang di Dewan Negara.

Menurut laman web Parlimen, sejumlah 51 senator ketika ini, justeru 19 lagi boleh dilantik.

“Setakat ini, tidak mungkin menteri baharu akan dilantik memandangkan tiada kementerian baharu diwujudkan,” kata sumber itu kepada FMT.

“Satu-satunya kekosongan ketika ini membabitkan jawatan timbalan menteri perpaduan negara.”

Sidang setengah hari Dewan Negara dijadual berlangsung pada 13 Feb yang mana mesyuarat pertama bagi penggal kedua Parlimen ke-15 turut berlangsung.

Angkat sumpah senator baharu berkemungkinan dibuat pada tarikh itu.

Sumber lain yang juga Ahli Parlimen berkata, senator baharu akan dilantik tidak lama lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, PH tidak membincangkan pelantikan menteri baharu.

“Timbul banyak spekulasi susulan pemukiman Jemaah Menteri pada Ahad,” katanya. “Tetapi, mesyuarat itu hanya mengenal pasti kemajuan menteri dan membincangkan kaedah mengukuhkan kerajaan perpaduan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.