Kementerian, agensi kerajaan dibenar BDR mulai 15 April

Kementerian, agensi kerajaan dibenar BDR mulai 15 April

Aturan baharu ini turut libat badan berkanun dan GLC, kata perdana menteri.

perdana putra pmo
Penjawat awam dibenar kerja dari rumah untuk jimat bahan api selain jamin kelestarian bekalan tenaga negara.
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan aturan bekerja dari rumah (BDR) melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai 15 April.

Dalam perutusan khas malam ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan menjimatkan bahan api selain menjamin kelestarian bekalan tenaga negara.

“Perincian lanjut akan diumumkan nanti … dalam masa yang sama, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan bertindak menampan impak krisis tenaga global ini menerusi Inisiatif Sokongan Rakyat,” kata Anwar.

Terdahulu, beliau menasihati sektor swasta agar turut membenarkan pekerja tertentu bekerja dari rumah.

Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan bahawa Perbendaharaan akan membelanjakan RM4 bilion sebulan bagi menyerap lonjakan harga minyak mentah susulan penutupan Selat Hormuz.

“Ini bukan satu tugas mudah,” katanya menambah, subsidi itu bertujuan melindungi rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, kemampuan kita (untuk menyerap kos ini) sudah pastinya terhad. Lihat sahaja pengalaman negara-negara lain.”

Namun begitu, Anwar berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan keterjaminan bekalan tenaga Malaysia, termasuk dengan mempelbagaikan negara sumber import minyak dan gas.

Tambahnya, berdasarkan perbincangannya dengan pemimpin Iran, negara-negara Teluk serta Presiden Indonesia Prabowo Subianto, mereka semua menjangkakan kesan konflik Asia Barat akan bertambah buruk.

“Mereka semua jangkakan keadaan akan jadi lebih teruk sebelum pemulihan dapat bermula, dan itu sudah pasti akan makan masa yang jauh lebih lama,” kata Anwar.

“Ini pastinya akan menjejaskan rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor tenaga, dan Malaysia juga tidak terkecuali. Kita patut bersyukur kerana kita masuk fasa ini dengan ekonomi yang agak stabil, membolehkan kita kekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter.

“Namun ini tidak bermakna kita boleh rasa selesa … Kita mesti terima hakikat bahawa kita berada pada waktu yang belum pernah kita alami sebelum ini. Jika keadaan semakin meruncing, kita mesti bertindak sewajarnya,” kata Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.