Sekolah persendirian Cina tunjuk perubahan besar sejak 40 tahun lalu, kata PM

Sekolah persendirian Cina tunjuk perubahan besar sejak 40 tahun lalu, kata PM

Anwar Ibrahim berkata sekolah persendirian Cina menunjukkan keselarasan lebih baik dengan kerangka pendidikan kebangsaan.

Sekolah cina high school classroom
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perbincangan berhubung pengiktirafan graduan UEC mula dibangkitkan kira-kira 40 tahun lalu, ketika sekolah persendirian Cina agak terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, keputusan kerajaan membabitkan graduan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hasil perubahan besar dari segi sikap dan penerimaan sekolah persendirian Cina sepanjang empat dekad lalu.

Perdana menteri berkata, perbincangan berhubung pengiktirafan graduan UEC mula dibangkitkan ketika beliau menjadi menteri pendidikan kira-kira 40 tahun lalu, ketika sekolah persendirian Cina agak terpisah daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau mengimbau mesyuarat antara pihak berkuasa pendidikan dan pertubuhan pendidikan Cina ketika itu yang sering diadakan dalam suasana tegang, dengan ada wakil enggan bertutur dalam Bahasa Melayu.

“Dalam beberapa mesyuarat yang saya hadiri, pemimpin persatuan guru itu enggan bercakap walau sepatah perkataan pun dalam bahasa Melayu,” katanya menurut Berita Harian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Ipoh.

“Saya kekal bersabar dan mendengar, tetapi Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Rahman Arshad, berbisik kepada saya – Anwar, maafkan saya, tetapi saya terpaksa meninggalkan mesyuarat ini sekarang. Saya tidak dapat menerima sikap seperti ini.”

Beliau berkata, keadaan kini berubah dengan ketara kerana sekolah persendirian Cina menunjukkan keselarasan lebih baik dengan kerangka pendidikan kebangsaan.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Azlinda Azman, menegaskan tiada pengiktirafan diberikan kepada sukatan pelajaran UEC, sebaliknya kerajaan hanya memberi laluan kepada pemegang sijil itu untuk mengikuti kursus tertentu di IPTA.

Jelasnya, kemasukan pemegang UEC ke IPTA tertakluk kepada syarat dan penilaian universiti.

Anwar berkata, kemasukan pelajar lulusan UEC ke IPTA tetap tertakluk kepada syarat ketat sama seperti lulusan sekolah di luar sistem pendidikan kebangsaan yang lain.

Katanya, antara syarat utama bagi melayakkan mereka mendapat tempat di universiti awam ialah wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Sekarang ini, sekolah antarabangsa kita letak syarat kan? (syarat sama), sekolah antarabangsa itu anak-anak Melayu ramai, anak-anak Malaysia. Jadi, kita syaratkan yang sama,” katanya menurut Bernama.

“Maahad Tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar semua kurikulum dalam bahasa Arab, tetapi tidak memberi penekanan tentang bahasa Melayu dan sejarah, kita berikan syarat yang sama. Itulah sebabnya mengapa kita buat keputusan (beri laluan kepada UEC).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.