‘Bodohnya’ seorang cikgu

‘Bodohnya’ seorang cikgu

Sejauh mana kita masih melihat guru sebagai insan membentuk masa depan generasi bukan sekadar sasaran apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan?

Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kita memandang guru hari ini.

“Cikgu ni bodoh ke?”

Kata-kata itu dihamburkan di hadapan khalayak oleh individu mendakwa anaknya dibiarkan berpanas ketika sukan sekolah, baru-baru ini.

Mungkin ramai sukar percaya tetapi inilah realiti jarang dipaparkan. Ya, kisah benar. Tidak perlu dinyatakan sekolah mana tapi malangnya insiden berlaku di kawasan bandar, yang sering dikaitkan dengan tahap pendidikan dan kesedaran lebih tinggi.

Nada suaranya keras dan cukup menghiris seolah-olah maruah seorang guru boleh dilenyek sesuka hati hanya kerana dia berdiri dalam pagar sekolah, bukan duduk atas kerusi empuk di belakang meja besar pejabat berhawa dingin.

Di sebalik insiden itu, ada guru sudah pun berada di sekolah sejak awal pagi. Menguruskan murid yang berlari ke sana-sini, mengawal keadaan, memastikan keselamatan dan menenangkan anak-anak yang teruja sementara menunggu giliran acara. Namun, semua itu sering tidak dipandang kerana yang lebih cepat dilihat hanyalah kekurangan dan kesilapan.

Antara kritikan dan penghinaan

Sudah tentu, ibu bapa berhak mempersoalkan aspek keselamatan dan kebajikan anak terutama membabitkan aktiviti luar bilik darjah malah kritikan terhadap pengurusan sekolah atau sistem pendidikan juga tidak wajar disenyapkan.

Kebimbangan seorang ibu atau bapa terhadap keselamatan anak sememangnya perlu difahami, lebih-lebih lagi apabila melibatkan cuaca panas dan kesihatan murid.

Guru tidak kebal daripada kesilapan tetapi apabila bahasa digunakan bertukar menjadi penghinaan, ia sebenarnya mengubah medan perbincangan daripada penambahbaikan kepada perendahan martabat.

Di sini, ada perubahan halus berlaku dalam hubungan antara ibu bapa dan sekolah. Jika dahulu, guru dilihat sebagai rakan dalam membesarkan anak, kini dalam sesetengah keadaan mereka dilihat seperti pihak yang perlu ‘diaudit’ setiap masa — setiap keputusan dipersoalkan, tindakan diperhalusi, dan kesilapan diperbesar.

Apabila isu yang timbul terus berakhir dengan tuduhan, penghinaan dan persepsi negatif, ia perlahan-lahan menghakis asas kepercayaan yang menjadi tulang belakang pendidikan itu sendiri.

Menanggung beban

Hakikatnya, tugas guru hari ini jauh melangkaui bilik darjah. Selain mengajar, mereka mengurus dokumentasi, laporan, aktiviti kokurikulum, komunikasi dengan ibu bapa, dan pelbagai tugasan pentadbiran yang semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, mereka juga berdepan tekanan emosi dari setiap penjuru — murid, sistem, tuntutan masyarakat dan tidak terkecuali ibu bapa itu sendiri. Kita menuntut guru menjadi sempurna dalam semua hal tetapi terlalu cepat menghukum apabila mereka gagal atau belum memenuhi jangkaan yang kadangkala tidak realistik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebimbangan mengenai beban tugas guru kerap dibangkitkan pelbagai pihak termasuk kesatuan dan laporan berkaitan pendidikan. Antara isu sering diperkatakan adalah keletihan melampau atau ‘burnout’, selain kecenderungan guru memilih bersara awal selepas berdepan tekanan kerja berpanjangan.

Walaupun angka lengkap jarang didedahkan secara terbuka, perbincangan mengenainya semakin jelas. Guru memilih bersara awal bukan kerana tidak mampu mengajar, tetapi tidak lagi sanggup menanggung tekanan yang datang bersama profesion itu.

Lebih membimbangkan, bukan sekadar perkara itu tetapi perubahan sikap masyarakat terhadap guru. Apabila guru dilihat sebagai pihak yang perlu dipersalahkan dalam banyak keadaan, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu jauh lebih besar — rasa hormat terhadap kerjaya suatu ketika dahulu dianggap mulia.

Tanpa penghormatan, yang tinggal hanyalah hubungan semakin ‘hilang jiwa dan berkira’. Sekolah dilihat sekadar penyedia perkhidmatan, guru dianggap petugas biasa, manakala pendidikan pula dinilai hanya berdasarkan aduan dan pencapaian semata-mata.

Tragedi terbesar

Insiden seperti ini mungkin dilupakan sebagai episod ledakan emosi sementara, namun meninggalkan kesan psikologi berpanjangan terhadap guru tersebut.

Pada masa sama ia menimbulkan persoalan lebih mendalam — sejauh mana kita masih melihat guru sebagai insan yang membentuk masa depan generasi, bukan sekadar sasaran apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan?

Jika kecenderungan ini berterusan, mungkin tragedi terbesar dalam dunia pendidikan hari ini bukan hanya kekurangan guru akibat pencen awal, tetapi kekurangan mereka yang sanggup bertahan dalam profesion itu kerana hilangnya rasa hormat masyarakat terhadap manusia bernama cikgu.

Barangkali bagi guru itu, ungkapan ‘cikgu ni bodoh ke?’ akan kekal terpahat dalam ingatan berbanding segala ucapan penghargaan sempena Hari Guru yang disambut hari ini.

 

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.