
Bagi penyanyi dan guru vokal, Adzrin Azhar, 41, anak murid menjadi sumber kekuatan untuk terus bangkit meneruskan kehidupan.
Pelantun lagu Pujaan Malaya yang pernah hit pada 2010 itu berkata, rutin harian mengajar vokal membuatkannya sentiasa sibuk dan tidak mempunyai ruang untuk tenggelam dalam kesedihan.
“Saya sayang anak murid saya. Bekerja dengan mereka buat saya gembira dan tidak tertekan. Bagi pesakit kanser, menjaga emosi paling penting. Saya tidak ada masa untuk perkara toksik,” katanya kepada FMT.
Ibu kepada pasangan kembar itu didiagnosis menghidap kanser ovari pada 2015 sebelum disahkan sembuh lima tahun kemudian.
Namun, pada Mei tahun lalu sel kansernya kembali aktif dan merebak dari ovari ke hati serta payudara kanan.

Walau berdepan ujian kesihatan serius, Adzrin tetap ligat mengendalikan kelas vokal hampir setiap hari sehingga ramai tidak menyedari penderitaan ditanggungnya.
“Jadual kerja saya padat, sehari lima kelas. Sebenarnya permintaan belajar vokal sangat tinggi,” katanya.
Adzrin kini semakin dikenali menerusi kandungan media sosialnya sebagai ‘Cikgu Rotan’, yang berkongsi teknik nyanyian dengan pendekatan santai dan menghiburkan.
Ketika ramai pempengaruh menghasilkan kandungan mengenai fesyen, masakan atau gaya hidup, Adzrin memilih berkongsi ilmu vokal menggunakan teknik nyanyian yang betul.

“Anak kembar saya kata ‘orang nak tahu macam mana penyanyi jerit’, terus saya dapat idea,” katanya.
Selain berkongsi tip vokal, Adzrin turut memuat naik rakaman sesi latihan bersama anak muridnya, sesuatu yang jarang dipaparkan di media sosial.
Anak didiknya datang daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar sekolah, kakitangan kementerian, pekerja bank, artis dan bakat baharu.
“Saya mengajar nasyid, koir, bicara berirama termasuk ajar artis menyanyi atau bakat baharu yang sedang menyertai pertandingan,” katanya.

Antara anak didiknya termasuk Audra dan Ammara (Talk To My Manager), Ray-D (kumpulan Alpha-Big Stage 2025) serta tiga peserta Gimme The Mic Malaysia 2024 (Bulan Asyraff, Jelly Belly dan Syafiq Sahli).
“Anak murid saya, Ray-D sudah ke Korea. Saya pula masih selesa naik (Perodua) Axia, baru sampai ke Nilai. Sebenarnya saya menumpang rezeki mereka,” katanya.
Sempena Hari Guru, Adzrin menitipkan pesanan supaya masyarakat menghargai semua insan yang berkongsi ilmu tanpa mengira latar belakang.
“Pak cik pengawal keselamatan juga seorang guru. Sesiapa yang ajar kita, apa saja ilmu termasuk kehidupan, juga seorang guru. Hargailah guru walau siapa pun mereka. Selamat Hari Guru,” katanya.