‘Saya kembali bila Najib minta wakilkan dia’, kata Shafee

‘Saya kembali bila Najib minta wakilkan dia’, kata Shafee

Shafee Abdullah berkata, bekas perdana menteri itu sedar beliau membuat kesilapan “dengan terlalu mempercayai individu tertentu”.

Peguam Shafee Abdullah berkata Mahkamah Persekutuan patut tahu bahawa tiada peguam boleh meneliti “berikat-ikat” dokumen dalam masa yang singkat.
PUTRAJAYA:
Peguam Shafee Abdullah berkata beliau diminta oleh Najib Razak untuk mewakilinya sekali lagi dalam rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan rasuah dan hukuman penjara kes SRC International.

Katanya, beliau diminta untuk kembali selepas bekas Ahli Parlimen Pekan itu sedar beliau membuat kesilapan “dengan terlalu mempercayai individu tertentu”.

“Atas sebab itu saya kembali,” katanya kepada wartawan di luar mahkamah.

Pada Julai lalu, Najib menggugurkan Shafee dan melantik pasukan pembelaan yang baharu diketuai bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim untuk mewakili beliau dalam rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Shafee kembali tiga minggu kemudian.

Shafee berkata, Najib sedar firma guaman baharu memerlukan masa tetapi mengakui dalam keadaan terdesak “seseorang itu akan mengambil apa sahaja kesempatan yang ada”.

“Lebih buruk lagi, saya berada di luar negara ketika itu,” katanya.

Pada 2020, Najib disabitkan kesalahan atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram berkait wang RM42 juta milik SRC International yang didepositkan dalam akaun bank miliknya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Shafee juga berkata, Mahkamah Persekutuan patut tahu bahawa tiada peguam boleh meneliti “berikat-ikat” dokumen dalam masa yang singkat, tambahnya empat bulan juga tidak mencukupi.

Sebelum ini, peguam bela Najib yang diketuai Hisyam Teh Poh Teik memohon Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan rayuan SRC International selama “tiga atau empat bulan” dengan alasan beliau baru mengambil kes itu kurang sebulan yang lalu.

Hisyam berkata, pasukannya diberikan rekod rayuan yang “panjang lebar” dan mereka memerlukan “masa mencukupi untuk membuat persediaan” dan membentangkan hujah.

Bagaimanapun, panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak permintaan itu.

“Selama 46 tahun saya dalam amalan undang-undang jenayah, saya tidak pernah berjumpa keadaan di mana seorang peguam berkata ‘saya baru mengambil alih kes ini, jadi berikan saya penanguhan’ dan ditolak oleh mahkamah,” kata Shafee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.