Jangan beri kuasa tanpa had kepada pendakwa raya, peguam beri amaran

Jangan beri kuasa tanpa had kepada pendakwa raya, peguam beri amaran

Peguam Salim Bashir berkata adalah tak munasabah jika pendakwa raya boleh hentikan kes selepas kes prima facie dibuktikan.

agc
Cadangan pindaan Perlembagaan bertujuan memindahkan sepenuhnya kuasa pendakwaan tanpa daripada peguam negara kepada jawatan baharu pendakwa raya.
PETALING JAYA:
Cadangan pindaan Perlembagaan untuk melucutkan kuasa budi bicara pendakwaan daripada peguam negara tidak seharusnya berikan kuasa tanpa had kepada pendakwa raya baharu, kata peguam, yang beri amaran ia boleh jejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan jenayah.

Pengamal undang-undang jenayah turut menggesa supaya had yang jelas ditetapkan terhadap kuasa pendakwa raya, terutama berkaitan menghentikan prosiding jenayah yang telah memasuki peringkat pembelaan.

Mereka berkata memberikan kuasa tanpa sekatan kepada penyandang jawatan itu akan menafikan sebarang kuasa budi bicara hakim perbicaraan apabila pendakwa raya memohon sama ada pelepasan penuh atau dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

Salim Bashir
Salim Bashir.

Peguam Salim Bashir berkata adalah tidak munasabah untuk membenarkan pendakwa raya menarik balik kes selepas kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh di mahkamah.

“Hakim perbicaraan bertungkus lumus meneliti semua bukti dan fakta menggunakan pendekatan penilaian maksimum bagi menentukan sama ada pihak pendakwaan telah membuktikan setiap elemen pertuduhan,” katanya.

Salim berkata penarikan balik kes pada peringkat pembelaan menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap usaha kehakiman mahkamah serta mengakibatkan pembaziran masa saksi dan wang pembayar cukai.

“Pada masa ini, satu-satunya pilihan hakim ialah sama ada memberikan DNAA atau memerintahkan pembebasan tanpa syarat apabila sesuatu kes ditarik balik, tanpa mengira peringkat perbicaraan,” katanya.

Beliau mengulas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan memindahkan sepenuhnya kuasa pendakwaan tanpa had daripada peguam negara kepada jawatan baharu pendakwa raya, termasuk kuasa untuk memberhentikan prosiding jenayah yang sedang berjalan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Rang undang-undang itu, yang turut menyentuh pelantikan, imbuhan dan tempoh jawatan pendakwa raya, dijangka dibahaskan di Dewan Rakyat pada Jun.

A Srimurugan
A Srimurugan.

Peguam A Srimurugan berkata budi bicara sedia ada yang diberikan kepada pendakwa raya untuk memutuskan sama ada akan mendakwa suspek selepas meneliti kertas siasatan perlu dikekalkan.

“Pilihan itu mesti tersedia atas dasar kepentingan awam. Adalah lebih baik jika beliau menjelaskan keputusannya dalam kes berprofil tinggi yang berkepentingan awam,” katanya.

Srimurugan bersetuju bahawa pendakwa raya hanya wajar menggunakan kuasa mutlak untuk menarik balik pertuduhan sebelum kes pendakwaan ditutup.

Katanya, sebaik sahaja pembelaan dipanggil, sebarang penarikan balik perlu tertakluk kepada budi bicara hakim perbicaraan.

“Jika tidak, penarikan balik itu akan ditafsirkan sebagai pendakwa raya mengetepikan keputusan mahkamah selepas kes prima facie telah dibuktikan terhadap tertuduh,” katanya.

Seorang lagi peguam, K A Ramu, berkata perbicaraan jenayah dijalankan bagi pihak awam terhadap tertuduh, dengan setiap pihak memainkan peranan yang berbeza.

K A Ramu
KA Ramu.

“Pendakwa raya adalah penjaga undang-undang dan ketenteraman yang bertanggungjawab memastikan tiada sesiapa mengatasi undang-undang,” katanya.

Ramu berkata pihak pendakwaan perlu membuktikan kes melampaui keraguan munasabah untuk mendapatkan sabitan, manakala tertuduh perlu menimbulkan keraguan munasabah bagi memperoleh pembebasan.

Kedua-dua tertuduh dan pihak awam berhak mendapat keadilan, katanya, sambil menambah bahawa sebaik sahaja pembelaan dipanggil, pihak awam mempunyai harapan bahawa sesuatu kes jenayah akan diselesaikan hingga ke penghujungnya.

Ramu turut menggesa agar undang-undang yang dipinda mewajibkan pendakwa raya mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.