Umno Sabah mungkin kerjasama Warisan, KDM pada PRN, kata Bung

Umno Sabah mungkin kerjasama Warisan, KDM pada PRN, kata Bung

Ketua Umno Sabah berkata bagaimanapun masih terlalu awal menyatakan perkara itu memandangkan tumpuan kini memantapkan parti terlebih dahulu.

Bung Moktar Radin berkata siapapun gandingan Umno Sabah pada PRN17, ia mesti menjadi faktor kekuatan dan kemenangan calon BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bung Moktar Radin berkata Umno Sabah tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi menghadapi PRN ke-17 (PRN17) kelak.

Ketua Umno Sabah berkata, bagaimanapun masih terlalu awal untuknya menyatakan perkara itu memandangkan tumpuan kini memantapkan Umno negeri terlebih dahulu.

“Kita tidak menolak kemungkinan itu, namun sekarang masih terlalu awal untuk menyatakannya. Kita tunggu sehingga tarikh PRN17 ditetapkan.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya bekerjasama dengan mana-mana parti yang menghormati perjanjian bagi membela kepentingan rakyat Sabah.

“Apa yang kita lakukan hari ini adalah memperkukuhkan semua jentera parti dan kumpul isu serta maklumat yang akan diguna pakai pada kempen pilihan raya nanti,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.

Bung mengulas persediaan Umno Sabah bagi menghadapi PRN17 berikutan kemungkinan ia diadakan lebih awal termasuk tahun depan seperti bayangan diberikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, baru-baru ini.

Tempoh DUN Sabah sekarang akan tamat pada Oktober 2025.

Pengerusi BN Sabah berkata, siapapun gandingan Umno Sabah pada PRN17, ia mesti menjadi faktor kekuatan dan kemenangan calon BN.

Katanya, proses gabungan dengan parti lain sebelum ini mengajar Umno Sabah menjadi matang dalam menjalin kerjasama di negeri itu.

“Kita akan melihat rakan yang ada kesetiaan, keikhlasan dalam melaksana tanggungjawab sebagai gandingan untuk memperjuang untung nasib rakyat Sabah.

“Kita tidak mahu lagi krisis dalaman yang mengganggu usaha membangunkan Sabah,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.