1MDB: Rafizi yakin siasatan berakhir dengan pendakwaan

1MDB: Rafizi yakin siasatan berakhir dengan pendakwaan

Setiausaha Agung PKR itu berkata beliau tidak tahu siapa yang menyerahkan dokumen LKAN kepadanya.

rafizi-1mdb

KUALA LUMPUR:
PKR yakin siasatan polis keatas laporan dakwaan salahlaku dalam 1MDB akan berakhir dengan pendakwaan, sepertimana kontroversi National Feedlot Centre (NFC) yang didedahkannya empat tahun lalu.

“Sama seperti kes NFC pada 2012, saya beri kerjasama penuh dan serah semua dokumen, dan ia berhasil dengan dakwaan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif NFC.

“Jadi saya yakin dengan hubungan kerja sedia ada antara saya dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), saya yakin mereka akan siasat sebaiknya dan sehingga tamat,” kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas memberi keterangan kepada JSJK di Menara 238, Jalan Tun Razak petang tadi.

Dalam sesi yang berlangsung kira-kira 40 minit itu, Rafizi berkata beliau telah menjawab semua soalan dan menyerahkan segala dokumen berkaitan.

Pada 30 Mac lalu, Rafizi membuat laporan polis terhadap Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dan pasukan pengurusan syarikat itu yang didakwa melakukan pecah amanah yang menurutnya terkandung dalam sebuah dokumen Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan itu juga memaklumkan telah menyenaraikan senarai pertama 110 senarai pesara tentera yang masih belum menerima caruman mereka kepada LTAT semalam.

“Saya minta mereka beri maklumbalas tentang status pembayaran selewat-lewatnya Isnin (4 April),” katanya lagi.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa kira-kira 1,200 anggota tentera yang tamat perkhidmatan masih belum menerima bayaran gratuti itu walaupun selepas enam bulan bersara.

Rafizi dilaporkan berkata, keupayaan LTAT membayar gratuiti terjejas kerana kelewatan pembayaran oleh 1MDB kepada sebuah anak syarikat LTAT, Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM) untuk projek pemindahan Pangkalan Udara di Sungai Besi berjumlah RM396.41 juta setakat September tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung PKR itu berkata beliau tidak tahu siapa yang menyerahkan dokumen itu kepadanya.

“Macam kes dulu (NFC), tak tahu siapa yang bagi dokumen pendedahan ini. Ia ditinggalkan di pejabat saya, (dan) PKR. Tapi (saya) tak rasa dari orang dalam PAC (Jawatankuasa Kira-kira Awam),” jawabnya, dan menambah beliau bagaimanapun yakin dengan kesahihan dokumen itu berdasarkan pengalamannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.