Populariti Adenan bukan tiket BN menang mudah

Populariti Adenan bukan tiket BN menang mudah

Kos sara hidup dan skandal yang dikaitkan dengan Najib Razak juga faktor yang boleh mempengaruhi pengundi Sarawak.

adenan-satem1
KUALA LUMPUR: Populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang disenangi dan mendapat sokongan ramai rakyat negeri itu bukan jaminan Barisan Nasional (BN) akan menang mudah dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11).

Menurut penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis berkata, populariti Adenan tidak menjamin untuk diterjemahkan di dalam bentuk undian.

“Walaupun Adenan popular, tetapi terlalu cepat untuk kita membuat penilaian. Terdapat banyak isu yang wujud masa ini yang belum diselesaikan kerajaan Pusat yang masih boleh mempengaruhi pengundi-pengundi rakyat di Sarawak,” katanya dalam satu forum mengenai pilihan raya Sarawak dianjurkan yang dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Faisal berkata, antara isu-isu yang boleh beri kesan kepada BN di Sarawak termasuk kos sara hidup tinggi selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), konflik dalaman dalam komponen BN Sarawak, unsur rasuah dan skandal yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, BN juga dijangka sukar mendapat sokongan pengundi di kawasan bandar tetapi mudah menguasai kawasan luar bandar.

“Saya ramalkan BN akan gunakan dana RM3 bilion yang diperolehi untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak terutama di kawasan yang DAP turut terlibat bertanding,” katanya.

Beliau meramalkan BN hanya mampu meningkatkan peratusan kemenangan lima peratus iaitu antara 64 hingga 72 kerusi manakala pembangkang antara 10 hinga 18 kerusi.

Pada PRN 2011, BN menguasai 55 kerusi DUN, diikuti DAP (11), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (10), PKR (3) dan Parti Pekerja Sarawak (1).

Dalam PRN kali ini, terdapat 11 kerusi baharu menjadikan 82 kerusi keseluruhan susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu.

DUN Sarawak akan dibubar pada 11 April untuk memberi laluan kepada PRN ke-11.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.