MMA: Kaskas selamat dimakan dalam kuantiti biasa

MMA: Kaskas selamat dimakan dalam kuantiti biasa

Pengambilan kaskas dalam kuantiti biasa tidak akan mengkhayalkan

Ashok

KUALA LUMPUR:
Pengambilan kaskas dalam kuantiti biasa adalah selamat dan tidak membahayakan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Ashok Zachariah Phillip yang dipetik akhbar New Straits Times menjelaskan, kaskas dianggap bahan biasa yang digunakan untuk memasak dan diketahui umum sebagai antara benih yang kurang alergik.

“Secara umumnya, adalah selamat untuk makan kaskas dalam kuantiti yang biasa digunakan dalam masakan, walaupun ada kemungkinan akan diuji positif dadah (bergantung kepada tahap sensitiviti ujian itu dan jangka masa selepas memakan kaskas).

“Saya belum menemui sebarang laporan memakan kaskas boleh mengkhayalkan, seperti mengambil candu atau morfin.

“Ia bukanlah masalah besar dan saya rasa pengharamannya akan menimbulkan masalah dari segi penguatkuasaan,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, persatuan itu akan mematuhi arahan kerajaan, jika mereka memutuskan untuk mengharamkan kaskas.

“Restoran-restoran menggunakan kaskas sebagai penambah perisa, sama seperti monosodium glutamat. Bagaimanapun, penggunaannya hanyalah dalam kuantiti kecil, kerana jika digunakan secara berlebihan, makanan jadi pahit.

“Contohnya, kami menggunakan 20 gram kaskas untuk menyediakan 10 kilogram daging kambing. Namun, terdapat dakwaan makanan yang mengandungi kaskas telah mengakibatkan pelanggan mengantuk, tidak bermaya dan ketagih kepada makanan itu,” katanya.

Menurutnya, lebih banyak kajian perlu dijalankan pihak berkuasa, sebelum kerajaan boleh membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu.

“Jika kerajaan mendapati kaskas boleh memudaratkan kesihatan dan kenyataan mereka disokong kajian saintifik, kami tentu menyambut baik keputusan mereka, kerana ia bukan bahan yang wajib digunakan dalam makanan kami,” katanya.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur SAC Wan Abdullah Ishak berkata, sejak minggu lalu, polis mengesan terdapat pengusaha kek di ibu negara yang meletakkan biji popi atau kaskas di atas kek mereka dan dijual pada harga RM13 kepada umum, demi melariskan jualan perniagaan mereka.

Menurutnya,  hasil ujian saringan ke atas biji popi itu mendapati, bahan kek terbabit positif dadah jenis morfin.

Jelasnya, jika ujian air kencing pembeli didapati positif dadah, mereka boleh ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah di dalam badan dan sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.