
Presiden MMA Thirunavukarasu Rajoo, berkata langkah itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya keperluan operasi bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau menegaskan petugas kesihatan seperti doktor, jururawat, paramedik dan kakitangan bersekutu perlu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan setiap hari, tanpa pilihan bekerja dari rumah.
“Di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, mereka terus melapor diri bertugas tanpa mengira lokasi, syif atau kos peribadi, berbeza dengan sektor lain yang mempunyai fleksibiliti,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, MMA berpandangan pendekatan seragam dalam rasionalisasi subsidi bahan api tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi petugas kesihatan di lapangan.
Menurutnya, isu berkenaan juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas melibatkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan yang kini berdepan kekangan peruntukan, beban kerja tinggi dan kekurangan tenaga kerja.
Katanya, kira-kira 70% rakyat Malaysia bergantung kepada sistem kesihatan awam, menjadikan sebarang tekanan tambahan terhadap petugas kesihatan berpotensi menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
“Ketika permintaan meningkat akibat penyakit kronik, populasi menua dan keperluan kesihatan yang semakin kompleks, kita seharusnya memperkukuh tenaga kerja ini, bukan menambah beban mereka,” katanya.
Tambah beliau, tekanan kewangan tambahan boleh menjejaskan moral, tumpuan serta kadar pengekalan tenaga kerja, sekali gus memberi kesan langsung kepada perkhidmatan kesihatan.
Terdahulu, Majlis Bersama Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Kementerian Kesihatan (Mapsu) turut membuat gesaan serupa, dengan menyatakan bahawa pengurangan kuota itu beri kesan langsung kepada kewangan kakitangan kesihatan awam.
Presidennya Ajulahin Japin, berkata ramai petugas kesihatan berulang-alik dalam jarak jauh setiap hari, khususnya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak.
Bulan lalu, Putrajaya mengurangkan kuota bulanan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebagai langkah sementara susulan konflik di Asia Barat yang beri kesan terhadap harga minyak mentah dunia.