Jangan guna keluarga tebusan sebagai alat berkempen

Jangan guna keluarga tebusan sebagai alat berkempen

Khalid berkata, ahli politik sepatutnya menenangkan keluarga empat tebusan itu dan menasihatkan mereka menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

bahasa,-tebusan,-PRN-Sarawak
PETALING JAYA: Ketua Polis Negara hari ini mengecam tindakan ahli politik mempergunakan keluarga empat tebusan yang diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf, sebagai alat berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.

Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dipetik China Press hari ini berkata, polis memahami perasaan dan tindakan keluarga mangsa.

“Tetapi, tindakan ahli politik meletakkan mereka di atas pentas tidak dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa ahli politik supaya tidak mempergunakan keluarga mangsa, sebaliknya perlu menenangkan mereka dan menasihatkan mereka supaya menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sarawak berjanji akan membantu keluarga empat tebusan yang diculik pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem yang dipetik Sin Chew Daily sebagai berkata, buat masa ini, perkara itu sedang dikendalikan Kementerian Luar.

Semalam, sempena hari pertama kempen PRN Sarawak, keluarga empat tebusan itu dilaporkan merayu sumbangan daripada orang ramai di ceramah-ceramah parti pemerintah dan pembangkang, bagi membantu pembebasan empat mangsa itu.

Mereka terlebih dahulu mengutip derma di sebuah kedai kopi di Sibu, sebelum pergi ke ceramah calon langsung BN, DAP, Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), dengan melutut di atas pentas sambil memegang poster bagi merayu sumbangan orang ramai.

Kumpulan penculik itu pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak RM42 juta, sebelum mengurangkan jumlah itu kepada RM30 juta.

Keluarga empat tebusan itu kini mempunyai RM4 juta, separuh daripadanya adalah hasil jualan tiga rumah.

Menurut laporan akhbar sebelum ini, keluarga mangsa memaklumkan mereka perlu mendapatkan wang tebusan itu untuk ditukarkan kepada mata wang peso, sebelum diserahkan kepada orang tengah menjelang 30 April ini, seperti yang ditetapkan kumpulan penculik.

Keempat-empat mangsa culik dari Sarawak itu adalah Wong Teck Kang, 31, Wong Teck Chii, 29, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34 yang merupakan anak kapal tunda berdaftar di Malaysia, MV MASSIVE 6.

Mereka diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan berdekatan Pulau Ligitan, ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia, pada 1 April lalu.

Difahamkan, empat tebusan Malaysia itu kini disembunyikan di kawasan pergunungan Patikul, Pulau Jolo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.