Tinjauan FMT mendapati, meskipun masih dipalit kemelut dengan pihak istana, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir itu kelihatan ceria berjumpa dengan rakyat dalam program pertamanya di Gong Badak, hari ini.
Ahmad Razif tiba di Majlis Pecah Tanah Terengganu Halal Business Center dan Perasmian Karnival Usahawan Anak Terengganu (KUAT) menaiki kenderaan rasminya, kira-kira jam 3.45 petang tadi.
Kira-kira 200 hadirin turut berdiri bagi menyambut ketibaan Ahmad Razif.
Beliau kemudiannya bersalaman dan beramah mesra dengan hadirin, sebelum menuju ke pentas utama untuk upacara perasmian.
Turut hadir ialah EXCO Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, Roslee Daud.
Sebelum ini, Ahmad Razif dilapor membatalkan semua program rasminya minggu ini.
Bagaimanpun, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Rozailan Ibrahim @Mamat kelmarin menegaskan, Ahmad Razif tidak membatalkan semua acara rasminya seperti yang dilaporkan media.
Beliau berharap penjelasan itu dapat menghentikan semua spekulasi yang tersebar.
Sultan Mizan Zainal Abidin melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Ahmad Razif, berkuat kuasa 22 April lalu.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dalam satu kenyataan Isnin lalu.
