
Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Jamali Ayu berkata, kebanyakan mereka bimbang jika hujan berterusan, banjir lumpur akan melanda kawasan penempatan mereka kesan daripada kegiatan pembalakan diluluskan kerajaan negeri.
“Memang pada musim tengkujuh ini kita bimbang kalau hujan berlarutan, lumpur akan turun dari kawasan-kawasan yang diterokai pembalak, malah sungai juga makin berkelodak.
“Sekarang ini, Orang Asli memang berada dalam keadaan berjaga-jaga sebab kami masih trauma dengan banjir lumpur yang melanda perkampungan Orang Asli pada 2014.
“Bagaimanapun, sehingga kini, keadaan masih selamat dan keadaan tidak menentu, kejap hujan kejap panas,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Pun begitu, Jamali meminta kerajaan negeri memberi perhatian terhadap nasib mereka dan tidak hanya memfokuskan mangsa banjir di kawasan hilir yang terjejas teruk sahaja.
Sehingga kini, sebanyak 30 sekolah di daerah Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Tumpat ditutup berikutan banjir yang melanda Kelantan sejak Sabtu lalu.
Setakat tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 4,208 orang berbanding 3,774 orang daripada 1,314 keluarga setakat 8 pagi tadi.
Mengulas sekatan dilakukan penduduk Orang Asli, Jamali berkata, mereka masih meneruskan usaha itu walaupun hujan lebat.
“Kami masih teruskan sekarang kepada pembalak dan kami ingin berpesan kepada pihak kerajaan negeri, mereka perlu turun berbincang dengan penduduk bawahan, bukannya hanya mengadakan pertemuan dengan penghulu dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sahaja,” katanya.