DAP: Majikan terdorong langgar undang-undang jika bayar levi

DAP: Majikan terdorong langgar undang-undang jika bayar levi

Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar berkata majikan terdorong berbuat demikian kerana mahu mengelakkan beban tambahan kerana tidak lagi boleh memotong gaji pekerja yang sah

Sivakumar
PETALING JAYA:
DAP hari ini mempertikaikan kewajaran majikan membayar levi pekerja asing yang sah, kerana ia akan mendorong mereka melanggar undang-undang dengan mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata kerajaan sepatutnya membincangkan dasar baharu Komitmen Mandatori Majikan (EMC) dengan persekutuan majikan terlebih dahulu.

“Adakah ini strategi kerajaan untuk menghalang majikan menggunakan tenaga buruh asing?” soal Sivakumar, yang juga timbalan pengerusi DAP Perak.

“Apabila majikan dipaksa menanggung kos levi, ini akan mendorong mereka mengupah PATI untuk mengelak beban tambahan itu.

“Ini bermakna jumlah PATI di negara ini akan terus membesar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan perlu membayar levi pekerja asing mulai 1 Januari tahun ini.

Di bawah dasar itu, majikan dilarang daripada membayar levi pekerja asing mereka melalui potongan gaji.

Zahid berkata dasar itu sebahagian daripada EMC, agar majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digajikan bermula daripada peringkat permohonan, penggajian dan penghantaran pulang ke negara asal.

“Adakah melalui dasar ini kerajaan cuba meringankan beban pekerja asing dan menambahkan beban majikan yang mengupah mereka?” kata Sivakumar.

“Apa yang paling membimbangkan saya apabila beban tambahan itu dipindahkan oleh majikan kepada pengguna.

“Akhirnya yang menjadi mangsa ialah pengguna, kerana terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk barangan yang mereka beli,” tambahnya.

Sebelum ini, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) membantah dasar baharu yang diumumkan Zahid itu, dan meminta campur tangan perdana menteri.

“Kami tidak bersetuju dengan dasar ini kerana kosnya bukan sahaja ditanggung oleh kami sebagai majikan, tetapi juga para pengguna,” kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.

Majikan tak setuju dasar levi, minta Najib campur tangan

Majikan bertanggungjawab bayar levi pekerja asing mulai esok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.