
Ketika dihubungi, Sng enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin tersebut namun tidak menafikannya, sebaliknya berkata beliau akan membuat pengumuman ‘pada masa yang sesuai’.
Beliau berkata kepada FMT: “Akan ada pengumuman rasmi berserta jawatannya.”
FMT juga cuba mendapatkan komen daripada Liu.
Bekas Adun Sungai Pelek itu meninggalkan DAP pada Jun 2023 kerana tidak berpuas hati dengan langkah kepimpinan parti meminda perlembagaan berkaitan penamatan keahlian.
Pindaan tersebut membolehkan wakil rakyat DAP hilang keahlian secara automatik sekiranya tidak mematuhi pendirian parti dalam isu-isu asas, yang dianggap Liu sebagai tidak demokratik.
Bekas exco Selangor itu menjadi ahli DAP selama 41 tahun dan pernah menganggotai jawatankuasa eksekutif pusat parti itu selama beberapa penggal. Beliau merupakan Adun Pandamaran dari 2008 hingga 2013 dan mewakili Sungai Pelek dari 2018 hingga 2022.
Beliau dikenali sebagai tokoh yang lantang dalam DAP dan pernah ditegur oleh Hannah Yeoh dan Tony Pua pada 2021 selepas menyatakan parti itu tidak perlu ‘mencairkan ke-Cinaannya’ semata-mata untuk meraih sokongan orang Melayu.
Liu juga secara terbuka mengkritik Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menerajui kerajaan Pakatan Harapan dari 2018 hingga kejatuhan gabungan itu pada Februari 2020.