
Kepayan adalah kerusi negeri yang dipegang Timbalan Pengerusi DAP Sabah Edwin Bosi.
Menurut Roketkini, laman web versi bahasa Melayu DAP, Jannie menyerahkan borang keahlian itu kepada Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, yang juga ahli Parlimen Sandakan.
Turut hadir, veteran DAP dan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, ahli jawatankuasa DAP Sabah dan orang ramai.
Langkah Jannie datang di tengah-tengah spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Penampang pada pilihan raya umum akan datang (PRU14).
Kawasan itu kini dipegang Darell Leiking, yang sebelum ini menyertai PKR, dan kini bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai timbalan presiden.
Dalam ucapan ringkas, Jannie berkata keputusan beliau menyertai DAP adalah berdasarkan komitmen parti itu kepada perjuangan wanita di negara ini.
Beliau merujuk kepada parti itu yang meminda perlembagaannya untuk memastikan wanita memegang 30% daripada jawatan kepimpinan dalam parti di semua peringkat.
“DAP adalah parti yang mempunyai kredibiliti,” katanya. “Ia boleh dipercayai.”
Beliau percaya parti itu konsisten selama ini dalam menjadi suara rakyat.
Jannie, bekas pesuruhjaya Suhakam berkata wanita perlu diberi tempat yang wajar dalam proses membuat keputusan supaya wujud lebih keadilan dalam perjuangan mengangkat taraf wanita.
“Ini adalah satu-satunya cara mereka mendapat keadilan dalam masyarakat. Usaha meletakkan maruah wanita dalam masyarakat adalah penting, “katanya.
Jannie, yang dilahirkan di Penampang, pernah berkhidmat dengan RTM Sabah sebagai wartawan penyiaran, diikuti 2 tahun bersama Jabatan Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Sabah.
Beliau menamatkan pengajian pada 1984 dengan ijazah kepujian dalam bio-kimia dari University of Kent, Canterbury, United Kingdom.
Pada 1987, beliau menjadi sebahagian pengasas Partners of Community Organisations in Sabah (PACOS Trust), sebuah badan bukan kerajaan khusus untuk masyarakat pribumi di Sabah.
Di peringkat antarabangsa, Jannie pernah menjadi Setiausaha Agung Pakatan Penduduk Pribumi Asia dan Pengerusi Dana Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Komuniti Orang Asal.
Semasa bertugas dengan Suhakam, beliau dihalang memasuki Sarawak semasa ia diterajui bekas ketua menteri Tun Taib Mahmud. Beliau akhirnya dibenarkan masuk ke negeri, berdasarkan kes tertentu.