Serang pengawal keselamatan, ‘Datuk Seri’ ditahan

Serang pengawal keselamatan, ‘Datuk Seri’ ditahan

Lelaki berkenaan didakwa menyerang seorang pengawal di sebuah kondo di Pulau Pinang semalam.

Mior-Faridalathrash-Wahid
GEORGE TOWN: Lelaki berpangkat “Datuk Seri” menyerah diri hari ini selepas didakwa menyerang seorang pengawal keselamatan yang merakam perbuatannya cuba membuka pengunci tayar di sebuah kondominium di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, lelaki berusia 50 tahun itu muncul di Balai Polis Jalan Patani dan kemudiannya ditahan.

“Kita boleh meletakkannya di bawah tahanan selama 24 jam. Kami masih belum meletakkannya di bawah reman,” katanya hari ini.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, seorang lelaki dilihat cuba membuka pengunci tayar Mercedes-Benz S-Class di sebuah kompleks kondominium di Bukit Gelugor.

Polis kemudian mengenal pasti identitinya yang merupakan penghuni kondominium itu.

Tayar keretanya dikunci selepas meletakkannya terlalu lama di ruang menurunkan penumpang.

Seorang pengawal keselamatan merakam perbuatan lelaki itu yang cuba membuka pengunci tayar dengan pemotong besi.

Tidak diketahui mengapa lelaki berkenaan tidak mendapatkan bantuan pihak pengurusan untuk membukanya dan di mana beliau memperoleh pemotong itu.

Ketika “Datuk Seri” itu menyedari perbuatannya dirakam pengawal berusia 43 tahun dengan telefon bimbitnya, beliau pantas mendekatinya dengan pemotong besi.

Video itu berhenti secara tiba-tiba dengan pengawal terkial-kial dengan telefonnya dan pada masa sama berlaku pertengkaran di antara mereka.

Pengawal itu kemudian membuat laporan polis mendakwa ditumbuk dan dipukul dengan pemotong besi. Beliau mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Kes itu disiasat di bawah Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

 

Berang perbuatan dirakam, penghuni kondo serang pengawal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.