
Sebaliknya, polisi ekonomi dibawa Trump yang perlu dibimbangkan, kata pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai.
“Sebenarnya polisi Trump dalam ekonomi membimbangkan dunia kerana ia memberi kesan serta-merta, di mana pelabur AS dipaksa balik untuk melabur di negara mereka, seiring dengan asas pentadbiran Trump yang menekankan pendekatan ‘AS for AS’.
“Misalnya, semalam di Indonesia adanya kebimbangan kerana 60% bon di Indonesia dipegang pelabur AS dan arahan balik dibuat Trump memaksa mereka menjual semula aset yang ada dan membawa balik modal.
“Malah di Malaysia keadaan juga lebih kurang sama kerana lebih 30% bon di Malaysia dipegang pelabur AS,” katanya ketika dihubungi FMT.
Barjoyai bekata demikian semasa mengulas sejauh mana kesan rancangan Trump terhadap Malaysia ekoran pelancaran perang perdagangannya terhadap China.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata Trump tidak melihat kepentingan kerjasama dengan negara luar sebaliknya memberi perhatian kepada agenda utamanya untuk membangunkan semula infrastruktur AS.
“Pelaburan di AS ke Malaysia akan menurun, adakah ini berkaitan Malaysia berbaik-baik dengan China? Jawapannya tidak. Ini kerana AS tidak peduli hubungannya dengan Malaysia kerana kita terlampau kecil untuk difikirkan.
“Begitu juga hubungan dengan negara lain di seluruh dunia. Ia tidak penting bagi Trump kerana beliau tidak melihat sebarang ancaman sekiranya tidak bekerjasama. Apa yang penting, modal pelaburan dibawa balik kerana mereka memerlukan wang yang banyak untuk membangunkan semula infrastruktur AS,” katanya.
Trump mengangkat sumpah sebagai presiden AS ke-45 secara rasmi pada Sabtu berikrar melancarkan perang perdagangan dengan China.
Beliau turut mengumumkan White House berundur daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), keputusan yang bakal menyaksikan AS semakin jauh daripada sekutunya di Asia di sebalik kemaraan pengaruh China di rantau itu.
TPPA menjadi senjata ekonomi utama ketika era pentadbiran Barack Obama bagi menghalang kemaraan China di rantau Asia Pasifik.
Selain AS, TPPA disertai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.
Susulan tindakan Trump itu, Barjoyai mencadangkan Malaysia memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan China serta mencari negara baru untuk dijadikan rakan kongsi dalam pelaburan.
“Rakan kongsi utama kita sekarang adalah China dan ia satu-satunya rakan kongsi terbaik dari segi modal dan kekayaan, walaupun pelaburan dari AS menurun tetapi pelaburan daripada China akan meningkat serta menggantikan tempat itu.
“Kalau dulu kita eksport barang seperti getah dan kelapa sawit ke AS, jadi sekarang kita kena gantikan dengan pasaran baru. Malaysia perlu mencari pasaran baru, mungkin menjalinkan kerjasama di Afrika, Vietnam,Cambodia dan Myanmar,” jelas Barjoyai.