
Ismail Said, 56, berkata kejadian pada 2011 lebih teruk dan besar berbanding kali ini.
“Banjir tahun ini tidak sama dengan 2011 yang agak besar tetapi air naik dengan mendadak. Pada 2011, air naik sehingga ke paras bumbung rumah. Yang ini hanya paras lantai,” katanya ketika ditemui FMT di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Batu Bakar.
Beliau adalah salah seorang mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan bersama 19 keluarga serta dan 60 yang lain 3 hari lalu.
Ismail bersama 4 ahli keluarganya yang lain turut mengharapkan kerajaan negeri dan persekutuan lebih prihatin kepada mangsa banjir kerana kebanyakan mereka hilang mata pencarian kerana tidak boleh keluar bekerja.

“Setiap mangsa banjir tidak pergi kerja, pendapatan dah kurang. Kami hanya harapkan sumbang daripada kerajaan,” katanya yang bekerja sendiri.
Seorang lagi mangsa banjir, Rafeah Ahmad, 70, turut mengeluh dengan kerugian besar yang dialaminya kali ini akibat banjir.
“Semua habis. Tak ada apa barangan yang tinggal, hanya kain baju. Itu pun perlu dibasuh dahulu,” katanya yang tinggal seorang diri.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan Ismail yang mengatakan situasi banjir di Segamat kali ini tidak sebesar pada 2011.
“Banjir pada 2011, air naik sampai ke bumbung,” katanya.
Terdahulu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah turut meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat mangsa banjir Kampung Batu Bakar.
Beliau memberikan sumbangan dan ditemani isteri Tunku Mahkota Johor Che Puan Khaleeda Bustamam serta Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Abdullah Segamat Herman Amat berkata sehingga pagi tadi, sebanyak 37 pusat pemindahan masih dibuka berbanding 75 sebelum ini di daerah Segamat.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 621 keluarga terjejas banjir yang melibatkan 2,403 mangsa.
Beliau menambah, sebagai persiapan menghadapi banjir, pihaknya membekukan cuti seluruh anggota bomba termasuk pegawai sehingga 31 Januari dan mengaktifkan sistem bertugas 24 jam.