
Loke berkata, syarikat berkenaan perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan memastikan disiplin pemandu mereka.
Beliau turut berharap pihak polis dapat menyelesaikan siasatan dengan segera dan membawa pemandu terbabit ke muka pengadilan.
“Saya yakin pihak Peguam Negara akan memastikan pendakwaan tegas dilaksanakan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tiga individu maut, manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas tiga kenderaan di KM212, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan persimpangan Taman Golden Hill, Gemas Baharu, petang Khamis lalu.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad, berkata kejadian pada 3.45 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan melanggar bahagian belakang sebuah van dinaiki mangsa.
Beliau berkata, tiga mangsa yang berada di dalam van disahkan maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Beliau berkata, pemandu treler telah ditahan bagi membantu siasatan dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.
Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Terdahulu, Loke menziarahi ahli keluarga mangsa di Hospital Segamat dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban kos rawatan.
Menurutnya, dua mangsa masih menerima rawatan di hospital, dengan seorang berada dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai amat menyedihkan, terutama kerana ia dipercayai berpunca daripada penyalahgunaan dadah oleh pemandu treler terbabit.
“Sebahagian besar pemandu lori adalah profesional dan berdisiplin, namun masih terdapat segelintir yang tidak bertanggungjawab serta terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.