Remaja maut dalam kemalangan ngeri di Kuala Terengganu

Remaja maut dalam kemalangan ngeri di Kuala Terengganu

Mangsa maut di lokasi kejadian setelah kepalanya terputus dipercayai tertusuk tiang JKR.

Polis terima laporan pada 4.12 petang tadi memaklumkan berlaku kemalangan ngeri membabitkan van jenis Nissan Vanette dan kereta Volkswagen Golf GTI di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang remaja maut selepas van yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kuala Terengganu petang tadi.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, mangsa Wah Han Keong, 18, maut di lokasi kejadian di Jalan Losong Feri setelah kepalanya terputus dipercayai tertusuk tiang Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata, polis menerima laporan pada 4.12 petang yang memaklumkan berlaku kemalangan ngeri membabitkan van jenis Nissan Vanette dan kereta Volkswagen Golf GTI.

Siasatan awal mendapati kereta Volkswagen Golf GTI yang dinaiki lima sekeluarga dari arah bandar Kuala Terengganu ke Muzium Negeri Terengganu di Losong hilang kawalan lalu terbabas melanggar tiang JKR di tengah jalan.

“Kereta itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan dan melanggar van yang dinaiki mangsa serta bapanya,” kata Azli dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Kemalangan tersebut menyebabkan tiang JKR tumbang dan tembus masuk ke dalam van sebelum menusuk kepala mangsa.”

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.