Barang kes kemalangan maut terbakar di depan IPD Kuala Pilah

Barang kes kemalangan maut terbakar di depan IPD Kuala Pilah

Ketua polis Kuala Pilah berkata, lori itu terpaksa diletakkan di luar kawasan kompaun IPD disebabkan saiznya dan kesesuaian lokasi simpanan.

Sebuah lori yang terbakar di depan IPD Kuala Pilah awal pagi tadi merupakan barang kes kemalangan jalan raya yang berlaku bulan lepas. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Sebuah lori yang merupakan barang kes dalam siasatan kemalangan maut terbakar dalam kejadian di depan IPD Kuala Pilah awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.45 pagi tadi daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Pilah.

Beliau berkata, anggota bomba Kuala Pilah tiba di lokasi pada 3.05 pagi bagi menjalankan operasi pemadaman yang selesai kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, punca kebakaran belum dapat dipastikan sementara siasatan lanjut pihak forensik bomba sedang dijalankan.

Muhamad Mustafah berkata, kenderaan itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, yang membabitkan dua lagi kenderaan sehingga mengakibatkan seorang mangsa maut pada 16 April lepas.

“Lori itu dan dua kenderaan lain ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), bagaimanapun lori itu terpaksa diletakkan di luar kawasan kompaun IPD kerana faktor saiz dan kesesuaian lokasi simpanan.

“Lori itu merupakan barang kes kemalangan jalan raya yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuala Pilah menerusi talian 06-4842999 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Supiah Ishak melalui talian 019-9933978.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.