
Pemerhati polis yang enggan mendedahkan namanya mempersoalkan kewajaran menyerahkan ID Ali kepada panel siasatan.
“Berhubung ID ini, kami memohon pertimbangan agar ID ini tidak diberikan dan keterangan dari ID ini tidak dilaporkan dalam siasatan panel. Ada kemungkinan untuk kita mengenal pasti suspek.
“Ia juga (ID) akan digunakan sewaktu di dalam mahkamah. Kami dengan rendah diri meminta pertimbangan panel. Bahkan, tidak dilaporkan media,” katanya yang bercadang mengemukakan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara.
Ketua panel siasatan awam itu, Datuk Mah Weng Kwai bagaimanapun berkata, ID itu perlu diserahkan kepada mereka untuk menilai kesahihan keterangan pegawai penyiasat terbabit yang merupakan anggota terawal menerima laporan kes kehilangan Koh.
“Harus diingatkan ini adalah siasatan awam dan mahu mendapatkan kebenaran apakah sebenarnya yang berlaku. Suhakam adalah badan berkanun dan diberikan mandat untuk menjalankan tugasan.
“Dalam kes ini, kita perlu melihat kepada ID berkenaan. Saya tidak nampak sebarang masalah dalam isu ini. Jika tidak diserahkan untuk membantu siasatan, lebih baik kami kemas barang dan pulang ke rumah,” katanya di Ibu Pejabat Suhakam, hari ini.
Ali merupakan saksi ke-6 panel siasatan itu dan pegawai penyiasat yang mengambil keterangan saksi pertama, Roeshan Celestine Gomez serta isteri Koh, Susanna Liew.
Roeshan menyaksikan kejadian penculikan itu dengan keretanya turut dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) yang turut dijadikan bahan bukti siasatan.
ID milik Ali mengandungi maklumat seperti masa keterangan diambil pada 13 dan 14 Februari lalu, soalan ditanya dan keterangan Roeshan serta Liew bersama gambar lokasi kejadian.
Peguam yang mewakili keluarga Koh, Gurdial Singh Nijar mempertikaikan permintaan pemerhati polis untuk tidak mendedahkan ID itu.
“Saya tidak rasa ini (ID) merupakan suatu dokumen rahsia. Ini hanyalah diari. Jadi, ia terbuka untuk dibawa dalam siasatan ini. ID perlu didedahkan bagi mengembalikan semula ingatannya (Ali),” katanya.
Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, semasa beliau memandu sebuah kereta Honda Accord bernombor plat ST 5515 D.
Koh diculik semasa dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan ia perancangan rapi melibatkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat. Namun, sehingga kini tiada pihak tampil meminta wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan Koh.
Tags: Bahasa, fmt, malaysia, Kl, Pastor Raymond Koh, Suhakam, panel siasatan, diari siasatan