
Ia berikutan lawatan ke perkampungan Orang Asli di Pos Titum di Jelai, Cameron Highlands pada Ahad lalu untuk menyumbang peralatan muzik kepada sebuah gereja di situ.
Seorang pastor dikenali sebagai Pastor Mondon dari Habu, Cameron Highlands, berkata penduduk setempat mempunyai bakat muzik tetapi tidak mempunyai alatan sebetulnya.
Bercakap kepada FMT, bekas calon DAP Cameron Highlands, M Manogaran berkata perjalanan itu penuh cabaran disertai cuaca teruk dan jalan yang uzur menuju Pos Titum.
“Perjalanan ke Tanah Rata, Cameron Highlands bermula pada 8.20 pagi dan kami tiba di Pos Titum pada 3.00 petang. Perjalanan patutnya hanya ambil masa 3 jam jika jalannya baik,” katanya.
“Persoalannya mengapa kerajaan tidak membina jalan yang elok kepada Orang Asli? Bukankah mereka juga berhak ke atas hasil ekonomi negara?”
Katanya, konvoi itu juga melihat sendiri bagaimana kanak-kanak diangkut di bahagian belakang kenderaan pacuan 4 roda dalam perjalanan pulang dari sekolah.
“Kami juga terlihat papan tanda didirikan kerajaan, mengatakan Barisan Nasional berjasa kepada Orang Asli.
“Apakah makna penghargaan ini, apabila penduduk hidup dalam penderitaan dan kesusahan?” soal Manogaran.
Pada pilihan raya umum lepas, DAP meraih undi majoriti di kawasan Pos Titum yang merupakan sebahagian kerusi Cameron Highlands, iaitu pertama kali pembangkang berjaya menang di perkampungan Orang Asli di situ.