‘Khalid Samad patut fail rayuan sabitan ajar Islam tanpa tauliah’

‘Khalid Samad patut fail rayuan sabitan ajar Islam tanpa tauliah’

Pengarah IRF, Ahmad Farouk Musa dan peguam, Rosli Dahlan berkata, jika tidak, pihak berkuasa agama seolah-olah betul mendakwa Khalid samad mengajar agama tanpa tauliah.

Farouk-Musa-rosli-khalid2
PETALING JAYA: Pengarah Islam Renaissance Front (IRF) dan peguamnya bimbang dengan “penerimaan” Khalid Samad terhadap pengurangan kadar denda oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengekalkan keputusan bersalah terhadap ahli Parlimen Shah Alam itu mengajar Islam tanpa tauliah, 6 tahun lalu.

Pengarah IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa dan peguamnya, Rosli Dahlan ketika dihubungi FMT berkata, keputusan Khalid tidak memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan itu menunjukkan pengarah komunikasi Amanah itu menerima definisi “mengajar tanpa tauliah”.

“Pendekatan Khalid menunjukkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) betul dalam mengambil tindakan dan mendakwa beliau untuk ‘mengajar’ tanpa tauliah,” kata Rosli.

Farouk mengulangi sentimen itu dengan berkata, jika Khalid bertegas beliau tidak mengajar agama, tetapi sekadar berkongsi pengalamannya di Palestin, beliau sepatutnya memfailkan rayuan terhadap sabitan itu.

“Dengan tidak merayu, beliau secara tidak langsung menyatakan Jais betul dalam takrif ‘mengajar tanpa tauliah’.”

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Rendah Syariah Klang menjatuhkan denda RM2,900 ke atas Khalid yang didapati bersalah melanggar Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 kerana mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 16 Ogos 2011.

Khalid mendakwa beliau tidak memberi kuliah agama, sebaliknya dipelawa ke surau itu untuk berkongsi pengalaman lawatannya ke Palestin.

Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Salehan Yatim mengurangkan jumlah denda daripada RM2,900 kepada RM1,900 yang bermakna Khalid masih layak bertanding pada pilihan raya umum ke-14(PRU14).

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seorang ahli Parlimen akan hilang kelayakan jika beliau dihukum penjara setahun atau denda melebihi RM2,000.

Dalam reaksi segeranya, Khalid memberitahu FMT beliau tiak akan memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan itu.

Farouk mempersoalkan sama ada pengurangan kadar denda yang sekaligus membenarkan Khalid bertanding pada PRU14, punca Khalid mengabaikan gambaran lebih besar.

“Ada kesan lebih besar untuknya. Ia menjadi contoh sangat buruk untuk kes lain sedemikian.

“Perjuangan lebih besar di luar sana ialah memerangi ketaksuban pihak berkuasa agama di negara ini.

“Kita tidak sepatutnya meninggalkan perjuangan itu hanya kerana mereka mengenakan denda kecil.”

Rosli turut kecewa dengan keputusan Khalid dan berharap beliau akan mengubah fikirannya dengan memfailkan rayuan.

“Ini adalah undang-undang zalim yang dilaksana dan dikuatkuasakan untuk menyekat pemikiran bebas.

“Ahli Parlimen dan semua penggubal undang-undang perlu mempertahankan apa yang betul, bukan hanya untuk apa yang menyenangkan. Negara ini perlu ditadbir undang-undang untuk kebenaran dan keadilan.

“Ahli Parlimen tidak boleh berkompromi, jika tidak, macam mana dengan rakyat biasa? Apakah peluangnya untuk dilayan dengan adil dan mendapat keadilan apabila undang-undang zalim dilaksanakan terhadapnya?

“Menjadi tanggungjawab semua ahli Parlimen dan penggubal undang-undang untuk memastikan undang-undang zalim tidak diluluskan dan dikuatkuasakan. Cabar undang-undang menindas seperti itu di setiap peringkat sehingga ia dimansuhkan.”

Rosli berkata, selepas mengkaji Seksyen 119 Enakmen Selangor dan Seksyen 11 Akta Wilayah Persekutuan, tidak ada definisi jelas mengenai perkataan “mengajar”.

Ini katanya, bukan sahaja memberi kuasa kepada pihak berkuasa agama menggunakan undang-undang, tetapi kewujudan undang-undang itu sendiri menjejaskan Perlembagaan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) serta agama.

“Ia adalah garis panduan Jais atau Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) yang mentakrifkan hampir apa sahaja sebagai ‘mengajar’ dan garis panduan itu tidak pernah dibahaskan di Parlimen atau DUN.

“Bagaimana ia menjadi sebahagian undang-undang sebuah negeri atau negara?

“Adakah perbincangan, forum, debat atau sebarang bentuk wacana juga dianggap mengajar? Jika begitu, adakah ia bermakna umat Islam tidak boleh mempunyai sebarang bentuk wacana mengenai Islam tanpa tauliah?

“Ini bermakna berakhirnya pemikiran, penghujung ijtihad.

“Adakah itu betul apabila Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bebas bersuara? Ia dikaitkan dengan kebebasan untuk berfikir dan menyuarakan pemikiran sedemikian.

“Adakah itu Islam apabila umat Islam percaya ayat pertama yang diturunkan adalah Iqra, yang bermaksud untuk membaca, yang bermaksud berfikir dan memahami serta mencari pengetahuan?”

Khalid terus berjuang

Khalid ketika dihubungi bertegas tidak akan melepaskan perjuangan itu, sebaliknya akan terus mendesak penakrifan lebih jelas untuk perkataan “mengajar” dalam peruntukan undang-undang.

“Amanah sudah membangkitkan perkara ini di Parlimen dan saya ada berdiri serta bercakap mengenainya, tetapi sudah tentu (menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama) Datuk Seri Jamil Khir Baharom masih mempertahankan tafsiran itu,” katanya kepada FMT.

“Kami setuju jika kamu mahu ‘mengajar’ Islam, maka kamu perlu mendapat tauliah, tetapi memberi ceramah mengenai ekonomi Islam contohnya, berkongsi pendapat mengenai perkembangan falsafah, bercakap mengenai Gaza, itu bukan mengajar.

“Undang-undang sedia ada termasuk ceramah motivasi atau umum yang mempunyai kaitan dengan Islam.

“Malah, (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak memerlukan tauliah sebelum beliau boleh bercakap apa-apa berkaitan Islam.”

Katanya, keputusannya tidak memfailkan rayuan mungkin dilihat seperti beliau menerima tafsiran itu, tetapi itu tidak benar.

“Pindaan undang-undang ialah sesuatu yang perlu dibentangkan di DUN dan kemudian disyorkan kepada sultan.

“Undang-undang tetap ialah undang-undang dan tidak kira kamu bantah atau sebaliknya, kamu tidak boleh lari daripadanya.”

Khalid lega kerusi Parlimen Shah Alam selamat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.