Daripada haramkan buku, mengapa tidak mahu debat, soal LFL

Daripada haramkan buku, mengapa tidak mahu debat, soal LFL

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata pengharaman buku cara pemikiran ketinggalan zaman.

eric-paulsen-books-assalamualaikum-banned-zaid-ibrahim
erPETALING JAYA: Lawyers for Liberty mempersoalkan langkah pihak berkuasa mengharamkan buku “Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia”.

Menyifatkan langkah itu sebagai tidak masuk akal, Pengarah Eksekutif Eric Paulsen berkata tindakan Putrajaya itu tidak berpijak pada bumi nyata.

“Terutamanya di zaman internet dan media sosial. Tindakan itu juga menyebabkan dakwaan perdana menteri kononnnya Malaysia model Islam sederhana tidak bermakna dan tidak berasas.

“Pengharaman buku-buku itu tidak wajar kerana tidak mungkin buku-buku itu mengancam ketenteraman awam atau keselamatan,” katanya di Twitter.

Paulsen memberitahu FMT pandangan berbeza harus didebatkan.

“Jika pihak berkuasa atau ahli politik tertentu tidak bersetuju dengan tulisan Zaid, mereka cuma perlu keluarkan kenyataan media atau berdebat dengan beliau.

“Itu tidak berlaku dan mereka terus mengharamkan buku itu. Tindakan itu cara pemikiran yang ketinggalan zaman, ia mungkin berkesan pada 50-an atau 60-an tetapi hari ini kita bercakap tentang kebebasan asasi, internet dan media sosial, jadi idea harus dikongsi dan dibincangkan.

“Jika apa yang Zaid katakan itu kontroversi dan berbeza dari pandangan kerajaan, maka berdebatlah. Idea didebatkan dalam demokrasi yang subur.”

Paulsen seterusnya mengkritik pengharaman itu.

“Pengharaman sembarangan buku-buku itu tidak membantu usaha kerajaan mengekang ekstremisme di Malaysia,

“Menyekat perdebatan hanya memberanikan persekitaran yang tidak boleh menerima pandangan berbeza dan terutamanya hak minoriti. Ini membawa kepada peningkatan jumlah individu yang menjadi radikal.

“Di Malaysia, yang dikatakan sebuah demokrasi moden, tidak patut meneruskan penindasan dan totalitarianisme di mana buku boleh diharamkan mengikut kehendak hati.

“Mengapa takut pandangan berbeza dan pengetahuan? Buku untuk dibaca bukan diharamkan, dirampas dan dimusnahkan,” katanya.

Selepas mendapati bukunya diharamkan Kementerian Dalam Negeri, Zaid “sedih rakyat Malaysia takut buku”.

Zaid berkata kementerian tidak berbincang atau memaklumkan hasrat mereka sebelum pengharaman itu.

Zaid, yang menyertai DAP awal tahun ini, melancarkan buku itu pada Oktober 2015. Dalam buku itu, Zaid bercakap tentang perbincangan baharu mengenai peranan Islam dalam politik dan kehidupan di Malaysia.

Pemeriksaan di laman kedai buku tempatan mendapati buku itu, yang dijual pada harga RM19, kini diharamkan.

FMT sedang menunggu pengesahan daripada KDN tentang pengharaman buku itu.

Buku itu merupakan buku berkaitan Islam yang terbaharu diharamkan dalam tempoh 3 bulan ini.

Pada 3 Oktober, KDN mengumumkan 5 buku yang menyentuh topik Islam, oleh penulis Turki Mustafa Akyol, dan 2 rakyat Malaysia – Ahmad Farouk Musa dan Faisal Tehrani – diharamkan.

Dalam warta rasmi 28 September 2017, KDN berkata buku berkenaan diharamkan kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan menggemparkan fikiran orang ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.